RSS
Facebook
Twitter

21 June 2013


ALMATY (Kazakhstan), 20 Jun Usaha isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor membangunkan pendidikan awal kanak-kanak melalui program Permata Negara sekali lagi mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Hari ini, beliau menerima anugerah Profesor Kehormat dari International Information Technology University (IITU) di sini.

Anugerah itu disampaikan kepada Rosmah oleh presiden IITU Profesor Dr Kenzhegali Sagadiyev.

Dalam ucapannya, Sagadiyev memuji Rosmah atas penglibatan beliau secara berterusan bagi memperkasa golongan wanita dan menyokong kanak-kanak yang berbakat.

"Beliau aktif mempromosi projek Permata, usaha yang digerakkan di seluruh negara, untuk membangunkan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak. Permata adalah satu contoh terbaik bagi meningkatkan pembangunan kanak-kanak dan belia," katanya.

Sagadiyev berkata, hasil sumbangannya profesor-profesor kanan di IITU bersetuju bahawa Rosmah layak diberi anugerah profesor.

Inisiatif mengadakan program pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak Permata Negara dimulakan pada Ogos 2005 bagi kanak-kanak rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik dan kemudian dikembangkan bagi memenuhi keperluan mereka yang lain.

Sementara itu, Rosmah yang juga penaung Permata, dalam ucapan penerimaannya berterima kasih kepada IITU atas anugerah itu terhadap beliau dan ia akan menjadi satu galakan bagi meneruskan usaha seperti itu.

"Saya juga menerima penghormatan ini bagi pihak semua rakyat yang hebat yang bekerja tanpa mengenal penat lelah dengan saya bagi melaksanakan program Permata sebagai satu daripada komponen penting dan inovatif dalam sistem pendidikan Malaysia.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada anak-anak dan suami saya Perdana Menteri Malaysia yang telah menjadi sumber inspirasi dan tonggak kekuatan bagi menggalak dan membolehkan saya menyumbang kepada negara saya," katanya.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim dan Duta Malaysia ke Kazakhstan Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.

IITU ialah universiti pertama ditubuhkan Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev, sebagai peneraju dalam penyelidikan teknologi maklumat dan melatih pakar dan profesional IT berkemahiran tinggi dan diiktiraf antarabangsa.

Ia juga telah bekerjasama dengan beberapa universiti Malaysia termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Multimedia (MMU).

-- BERNAMA

NAN HK NH

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About