RSS
Facebook
Twitter

19 June 2013

Anwar kecam polisi ekonomi Malaysia


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam polisi ekonomi Malaysia dengan menyelar penubuhan Jawatankuasa Dasar Fiskal yang diumum Datuk Seri Najib Razak semalam sebagai satu lagi usaha untuk menekan rakyat.

Najib semalam mengumumkan penubuhan jawatankuasa tersebut untuk memastikan pengurusan fiskal negara yang lebih baik dan bagi mencapai kadar fiskal tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Saya mengambil pendirian berhati-hati dengan pengumuman Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menubuhkan Jawatankuasa Dasar Fiskal semalam.

"Kerajaan BN mestilah tidak mengheret orang ramai untuk melindungi ketakupayaan menguruskan ekonomi dan kegagalan polisinya," kata Anwar dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR, Tropicana hari ini.

Anwar kemudiaan menyatakan kebimbangan ke atas jawatankuasa yang diumum memandangkan kerajaan masih lagi mengambil sikap berahsia dalam perkara melibatkan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

"Malangnya Datuk Seri Najib terus untuk mentadbir dengan diselebungi rahsia, terdapat kebimbangan besar terhadap cara Kabinetnya mengendalikan TPPA dan GST.

"Ini kerana pentadbirannya enggan untuk menjadi telus dan inklusif semasa berbincang," kata Anwar.

Beliau turut membidas kerajaan kerana bersikap tidak adil dalam menangani isu TPPA dan GST, sebaliknya menggesa kerajaan untuk mengurangkan pembaziran dalam pentadbiran terlebih dahulu sebelum mahu melaksanakan kedua-dua polisi yang akan membebankan rakyat tersebut.

"Usaha untuk mengurangkan belanjawan defisit tersebut dengan mudah dapat dicapai menerusi pengurusan ekonomi yang ketat dan perolehan kerajaan yang telus tanpa pengenalan sebarang cukai baru atau memotong perbelanjaan utama kerajaan yang memberikan kesan langsung kepada kehidupan orang ramai," tegas Anwar lagi.

Anwar kemudiaan mengulangi pendirian GST hanya boleh diperkenalkan sekiranya pendapatan rakyat meningkat disamping menggesa Putrajaya mendedahkan semua butiran melibatkan TPPA.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilapor berkata kepada agensi berita nasional Bernama pada Rabu lalu permintaan domestik yang kukuh akan terus menjadi “pemacu utama pertumbuhan”, disokong oleh perkembangan sektor swasta  yang berterusan dan disokong oleh sektor awam.

Pakar ekonomi Datuk Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem, yang merupakan bekas pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi  Malaysia (MIER), berkata bulan lepas pertumbuhan ekonomi negara dijangka sederhana kepada 5 peratus tahun ini daripada 5.6 peratus tahun lepas, disebabkan oleh faktor luaran seperti krisis zon di Eropah.

Pertumbuhan ekonomi di rantau Asia-Pasifik dijangka melonjak kepada enam peratus tahun ini, daripada 5.6 peratus pada 2012, ia  lebih perlahan daripada kadar pertumbuhan purata sebanyak 8 peratus sebelum krisis kewangan global yang melanda pada tahun 2008, kata Pertubuhan Ekonomi Bangsa-bangsa Bersatu Ekonomi dan Suruhanjaya Sosial bagi Asia dan Pasifik bulan lepas.

Hutang negara juga mencecah kepada 53 peratus KDNK — menghampiri siling 55 peratus — naik daripada 43 peratus pada tahun  2008.

Hutang isi rumah Malaysia telah semakin meningkat daripada 75.8 peratus pada tahun 2010 kepada 76.6 peratus pada tahun 2011, dan kepada 80.5 peratus pada tahun lepas, yang menyebabkan amaran untuk berwaspada daripada penganalisis kewangan di rantau ini. - 19 Jun, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About