RSS
Facebook
Twitter

21 June 2013

'Apa kuasa Husam keluarkan fatwa?'


Seorang bekas pemimpin PAS Prof Madya Mohd Nor Deris menuntut agar pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Datuk Husam Musa atas kenyataan naib presiden PAS bahawa peserta 'Black 505' esok akan syahid jika terkorban ketika menyertai perhimpunan berkenaan.

Mohd Nor dalam satu Utusan Malaysia mahu Husam disiasat kerana kenyataan yang didakwanya sebagai "fatwa sesat" itu bercanggah dengan pegangan ahli sunnah wal jamaah dan tidak boleh dibiarkan.

"Siapa dia (Husam) untuk mengeluarkan fatwa yang begitu besar? Apa kuasa dia? Ini hanya satu kenyataan terdesak beliau.

"Retorik agama seperti ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia amat berbahaya dalam masyarakat hari ini," kata bekas pensyarah itu seperti dipetik dalam laporan akhbar milik Umno itu.

Akhbar sama turut melaporkan kenyataan penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut yang turut menyifatkan kenyataan tersebut sebagai pandangan yang "berbahaya kepada keamanan negara".

"Fatwa ganjaran mati syahid di negara ini hanya boleh diputuskan oleh golongan ulul amri atau ulama yang mempunyai kesepakatan dalam perkara itu seperti Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.

Ahli Jawatankuasa Minda Pondok Kelantan, Mohd Syamsul Mohd Yusoff pula dalam laporan sama meragui kredibiliti Husam dalam mengeluarkan kenyataan itu, yang diistilahkan akhbar berkenaan sebagai "fatwa Husam".

"Kita ada saluran atau pakar bidang masing-masing maka, hormatilah prosedur itu.

"Kalau tidak, natijah akhirnya akan kucar-kacir, huru-hara. Takkan kalau sakit mata kita hendak rujuk kepada pakar kencing manis," katanya.

Menurutnya lagi, syahid yang ditetapkan Islam hanya dalam konteks mempertahankan kedaulatan agama dari dikhianati musuh.

"Dalam konteks ini ia berbeza dengan kehendak perhimpunan tersebut yang bertujuan memprotes keputusan pilihan raya yang kononnya didakwa tidak telus dan adil," katanya.

Akhbar sama turut melaporkan tentang seruan solat hajat selepas solat Jumaat hari ini untuk memohon perlindungan Allah bagi memberi kestabilan, perlindungan dan keamanan kepada negara.

Kritikan tersebut timbul ekoran laporan lidah parti PAS, Harakahdaily pada Isnin lalu berhubung kenyataan Husam yang menganjurkan ahli parti agar menyertai perhimpun di Padang Merbok itu.

"Andai kata kita terkorban, atau satu daripada kita terkorban, insya Allah ia adalah syahid fi sabillah," kata Husam seperti dipetik Harakahdaily .

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About