RSS
Facebook
Twitter

25 June 2013

Agong mahu semua pihak hormati keputusan PRU13


Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah supaya semua pihak menghormati keputusan pilihan raya umum ke-13 lalu di Dewan Rakyat hari ini.

Selepas pilihan raya 5 Mei lalu, pembangkang Pakatan Rakyat (PR) enggan mengiiktiraf keputusan tersebut dengan mendakwa berlaku penipuan dan salah guna kuasa sepanjang tempoh berkempen, malahan turut mendesak pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan.

Tuanku bertitah pilihan raya yang lalu telah berjalan dengan proses demokratik dan menggesa semua ahli-ahli Parlimen yang baru supaya bekerja untuk rakyat bagi memastikan matlamat negara maju 2020 dapat tercapai.

"Beta menyeru semua pihak menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang telah diadakan mengikut lunas sistem demokrasi dan seterusnya bekerjasama serta berganding bagi membolehkan negara melangkah ke depan untuk mencapai matlamat negara maju," kata Tuanku.

Sejak pengumuman keputusan Pilihan Raya 2013, PR telah menganjurkan Himpunan “Black 505” di seluruh negara menolak keputusan pilihan raya.

Penganjurnya, Datuk Johari Abdul turut berkata himpunan berkenaan akan terus dijalankan walaupun Yang Di-Pertuan Agong telah menitahkan agar setiap rakyat menerima keputusan pilihan raya.

PR juga telah memfailkan 39 petisyen pilihan raya yang membabitkan 25 kerusi parlimen manakala 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Manakala Barisan Nasional pula memfailkan petisyen bagi sembilan kerusi Parlimen dan 12 DUN.

Dalam titahnya lagi, Tuanku turut menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keselamatan yang terkorban dalam tragedi di Lahad Datu, Sabah akibat pencerobohan tentera pengganas Sulu pada Mac lalu.

"Beta dan Raja Permaisuri Agong merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota pasukan keselamatan yang telah terkorban semasa mempertahankan negara dalam insiden serangan kumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna," kata Tuanku.

Prestasi dan pertumbuhan ekonomi negara yang baik turut disentuh Tuanku dalam titahnya dan berharap kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya baru-baru ini dapat meneruskan kesinambungan kejayaan bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan antara lima peratus hingga enam peratus tahun ini.

"Beta sukacita kerana semasa pemerintahan Beta yang terdahulu dan kali kedua ini, Beta telah menyaksikan kemajuan negara bergerak secara progresif.

"Beta berharap pada tahun ini negara akan berjaya mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan antara lima peratus hingga enam peratus," katanya lagi.

Sebelum itu, Tuanku buat kali pertama dalam sejarah negara terpaksa melakukan pemeriksaan perbarisan di dalam bangunan Parlimen ekoran keadaan berjerebu yang teruk di seluruh ibu kota pagi ini.

Sidang Dewan Rakyat bermula secara rasminya bermula semalam selepas menyaksikan seramai 222 ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak mengangkat sumpah di Parlimen.

Sidang ke-13 kali ini akan dikendalikan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas dilantik untuk penggal kedua dan bakal dibantu dua timbalannya iaitu Datuk Ronald Kiandee dan ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said. - 25 Jun, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About