RSS
Facebook
Twitter

10 June 2013

Himpunan ‘Black 505’ ditunda ke 22 Jun



PETALING JAYA, 10 Jun – Pakatan Rakyat (PR) telah membuat keputusan menunda tarikh Himpunan “Black 505” ke 22 Jun depan ekoran berlaku pertindihan dengan dua program yang berlangsung pada tarikh awal perancangan pada 15 Jun pada hujung minggu ini.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata pihaknya menegaskan tidak akan berlaku sebarang perubahan selepas ini walau apa pun alasan yang diberikan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Ini adalah ketetapan akhir dan tidak akan ada sebarang perubahan selepas ini tidak kira apa alasan yang diberikan DBKL,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Jelas Rafizi (gambar), pihaknya menerima maklum bahawa pada 15 Jun itu ada dua program yang berlangsung di Padang Merbok iaitu perkahwinan dan juga karnival kitar semula yang telah membuat permohonan lebih awal.

Rafizi menegaskan, permohonan untuk menggunakan Padang Merbok pada tarikh 22 Jun juga telah dibuat pada Jumaat, 7 Jun lepas dan pihaknya turut mengenal pasti tiada sebarang pertindihan dengan mana-mana program pada tarikh tersebut.

“Oleh itu tiada lagi alasan untuk DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) bermain politik dengan melengah-lengahkan permohonan ini,” tegas ahli Parlimen Pandan itu lagi.

Rafizi turut mengingatkan Tengku Adnan, majoriti penduduk di Wilayah Persekutuan bersama dengan PR dan Setiausaha Agung Umno itu tegasnya perlu menghormati hasrat rakyat yang mahu berhimpun di padang milik rakyat itu.

Bagi tujuan itu juga Rafizi memaklumkan notis kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dihantar esok, seperti dituntut PDRM iaitu tempoh 10 hari daripada himpunan itu berlangsung.

“Kita menjangkakan bilangan peserta minimum 300,000 orang ... Walaupun padang itu hanya mampu menampung sekitar 50,000, namun ia mempunyai kawasan lapang yang luas di sekitarnya,” kata Rafizi.
Himpunan  pada 22 Jun itu juga jelasnya hanya akan bermula sekitar jam 12 tengahari.

Rafizi turut mengulangi tiga tuntutan Black 505: perletakan jawatan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota baru dilantik secara bersama dengan PR; pilihan raya semula di 30 kawasan Parlimen; dan hentikan usaha meminda undang-undang. Pilihan raya atau persempadanan semula sehingga kesemua anggota SPR dilantik daripada muka baru.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About