RSS
Facebook
Twitter

30 June 2013



Seorang menteri yang rumahnya dimasuki pencuri pada hujung minggu lalu mendapat simpati daripada pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Saya tahu bagaimana rasanya rumah dimasuk pencuri kerana rumah saya sendiri pernah dimasuki pencuri dua kali pada tahun 2009 dan 2010 dan itu merupakan salah satu sebab mengapa saya berpindah ke pangsapuri pada 2011,” menurut Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua dalam satu kenyataan media lewat malam tadi.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mendapati rumah banglonya di Bukit Damansara dimasuki pencuri pada siang hari Sabtu lalu sewaktu hanya pembantu rumahnya berada di rumah.

Pua turut menggesa pihak polis dan kerajaan agar berdepan realiti terhadap kejadian jenayah yang semakin berleluasa di Malaysia. 

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata: “Jika kerajaan dan polis tidak mahu menerima hakikat, maka tiada pendekatan yang akan diambil pihak berkuasa bagi membendung isu berkenaan.

“Jika kerajaan dan polis tidak mahu menerima kenyataan, kita pasti berdepan alasan demi alasan daripada pihak polis malah daripada Pemandu sendiri yang menggesa pemansuhan Ordinan Darurat meningkatkan kadar jenayah.”

Polis memberitahu The Malaysian Insider pemansuhan akta berkenaan akan meningkatkan kadar jenayah jalanan dan secara keseluruhannya.

Pua berkata kelemahan polis sebenar dalam membanteras jenayah adalah penempatan pasukan yang kurang tepat dan skala yang berlebihan.

“Sejak lapan tahun lalu, Cawangan Siasatan Jenayah terdiri daripada 9 peratus tenaga polis secara keseluruhannya. Sebagai perbandingan, 41 peratus polis beruniform melakukan tugas-tugas pentadbiran.

“Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2005 mencadangkan kira-kira 20,000 pasukan beruniform atau 22 peratus kembali kepada tugas hakiki bagi memantapkan tugas polis. Malangnya cadangan tersebut tidak diambil serius oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Kementerian Dalam Negeri dan polis harus menerima cadangan RCI dan melaksanakan semua pendekatan yang perlu bagi meningkatkan keberkesanan dan profesionalisme pasukan polis.

“Selagi mereka berlengah-lengah, ini akan meningkatkan kadar jenayah dan menjadikan Malaysia tidak selamat bukan sahaja kepada rakyat malah pembangunan kondusif perniagaan dan pelaburan.”

“Merujuk kepada kes rompakan di kediaman Khairy, Pua berkata tidak kira sama ada menteri atau ahli politik dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional atau sesiapa yang berada di jalanan akan berdepan trauma apabila berdepan situasi jenayah.

“Kita bersyukur kerana dalam insiden ini tiada yang cedera. Kejadian ini dan yang lalu berlaku sejak kebelakangan ini kepada VIP termasuk ahli keluarga menteri dan pegawai polis membuktikan jenayah bukanlah persepsi semata-mata di Malaysia.

 “Jika menteri dan pegawai polis atasan tidak terlepas daripada jenayah maka bagaimana rakyat biasa dapat tidur lena? Kejadian jenayah telah memaksa penduduk setempat menggunakan perkhidmatan kawalan keselematan peribadi di kawasan kediaman mereka.

“Jutaan ringgit telah dibelanjakan oleh penduduk untuk menggunakan khidmat kawalan keselamatan bagi melindungi kediaman mereka. Statistik jenayah beberapa tahun lalu telah dimanipulasi bagi memberikan rakyat Malaysia persepsi yang salah berhubung isu keselamatan.

Kerajaan mendakwa jenayah jalanan telah berkurang kepada 40 peratus beberapa tahun ini manakala indeks jenayah turun kepada 25 peratus daripada tahun 2007 ke 2011.

“Apa yang kerajaan cuba sembunyikan daripada rakyat Malaysia adalah indeks jenayah telah meningkat kepada 69 peratus pada tempoh yang sama,” jelas Pua.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About