RSS
Facebook
Twitter

13 June 2013


KUALA LUMPUR, 13 Jun – PKR tidak akan memboikot upacara angkat sumpah ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 24 Jun nanti, kata timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali.

Kenyataan tersebut hadir selepas dua hari lalu Pakatan Rakyat (PR) diberi amaran oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia ahli Parlimen PR akan digugurkan jika meneruskan rancangan untuk memboikot upacara angkat sumpah itu.

“Saya mahu menegaskan KEADILAN tidak pernah pada satu ketika memutuskan untuk memboikot sebarang upacara angkat sumpah,” kata Azmin (gambar) dalam satu kenyataan media awal pagi tadi.

Menurut Azmin, kepimpinan PKR dan PR sebaliknya hanya memutuskan untuk memboikot taklimat sidang Parlimen pada 11 Jun lalu bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pilihan raya umum ke-13 dan berharap spekulasi tentang pemimpin PR akan memboikot tidak lagi dibangkitkan.

“Oleh itu, semua Ahli Parlimen KEADILAN akan menghadiri proses upacara angkat sumpah dan akan menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya.

Sesi taklimat pertama ahli-ahli Parlimen pada 11 Jun menyaksikan kehadiran 111 anggota Parlimen yang dipilih pada Pilihan Raya 2013, dengan hanya seorang wakil pembangkang, ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa yang hadir, daripada 89 keseluruhan ahli Parlimen PR.

Er telah dikenakan tindakan oleh partinya DAP kerana ingkar terhadap notis supaya memboikot taklimat tersebut.

Majlis Pimpinan PR telah membuat keputusan memboikot taklimat itu pada mesyuarat lalu untuk menunjukkan bantahan terhadap pemerintah Barisan Nasional (BN) kerana enggan memenuhi tuntutan reformasi pilihan raya.

Sebaik sahaja pilihan raya 5 Mei berakhir, pemimpin pembangkang telah membuat beberapa siri pendedahan yang didakwa sebagai penipuan sebagai tekanan daripada pembangkang untuk Putrajaya melakukan reformasi pilihan raya, bermula dengan melengkapkan pembaharuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketiga-tiga parti PR juga mengesahkan untuk memfailkan 41 petisyen pilihan raya — tiga oleh DAP, 20 oleh PKR dan 18 oleh PAS — sebelum tarikh akhir 12 Jun.

Akan tetapi selain daripada petisyen di mahkamah, PR dan kumpulan masyarakat sivil lain telah menganjurkan perhimpunan besar-besaran selepas 5 Mei untuk mendesak agenda reformasi, meletakkan tiga syarat utama dengan pertama mensyaratkan peletakkan jawatan semua anggota SPR kerana kegagalan untuk memastikan Pilihan Raya 2013 bebas dan adil.

Perhimpunan “Black 505” seperti yang digelar, juga dikhaskan sebagai gerakan untuk membantah kecurangan seperti didakwa PR semasa pilihan raya, menyaksikan BN terus berkuasa walaupun kehilangan undi popular.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About