RSS
Facebook
Twitter

07 June 2013


KUALA LUMPUR, 6 Jun — Pihak yang membelakangi titah Sultan Kelantan dalam royalti minyak juga penghinaan kepada institusi monarki negara, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini, selepas penahanan individu yang disyaki meghina Yang di-Pertuan Agong.

Baru-baru ini, media melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pihak polis telah berjaya menahan seorang wanita yang merupakan suspek menhina YDP Agong dalam laman sosial Facebook serta disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan jika disabitkan kesalahan boleh didakwa dibawah Akta Hasutan 1948.

“Di sebuah negeri, pernah Sultan negeri berkenaan bertitah di dalam Dewan agar dikembalikan royalti minyak dan didaratkan gas yang ditemui di lautan negeri ke pantai yang terdekat.

“Namun malangnya pembangkang di negeri berkenaan membelakangi titah Sultan. Barangkali ini juga boleh dimasukkan di dalam kategori menghina raja,” kata Nik Abdul Aziz yang dipetik berkata dalam laman Facebook akaun peribadinya hari ini.

Walau bagaimanapun, Nik Aziz yakin pihak berkuasa akan mengambil tindakan dengan adil terhadap wanita yang ditahan, namun, pada masa sama, mahukan siasatan juga dijalankan ke atas mereka yang mempertikai titah Sultan Kelantan.

“Saya membaca laporan akhbar berkenaan seorang wanita ditahan kerana menghina Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

“Saya optimis pihak berkuasa akan menjalankan siasatan sebaik-baiknya,” tambah bekas menteri besar Kelantan tersebut lagi.

Dalam perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun lepas, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah: “Gas asli yang terdapat di Telaga Bumi Selatan dan Telaga Surya Selatan (blok PM301) sudah mulai dikeluarkan. “Beta berharap gas ini dapat didaratkan di negeri ini kerana Kelantan telah menyediakan zon indutri petroleum di Bachok seluas 4,000 ekar sejak tahun 1990-an lagi”.

Namun, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang ketika itu merupakan timbalan menteri kewangan berkata kerajaan Pusat tidak pernah berjanji untuk mendaratkan minyak yang diperolehi di telaga di perairan antara sempadan Malaysia dan Thailand di Bachok.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur SAC Datuk Amar Singh Ishar Singh pada minggu lalu mengesahkan pihaknya telah menerima enam laporan polis berhubung tindakan menghina Ynag di-Pertuan Agong tersebut.

Beliau berkata kesemua enam laporan tersebut dibuat di Balai Polis Dang wangi oleh individu yang mewakili enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kes berkenaan jelasnya boleh disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948.

 



0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About