RSS
Facebook
Twitter

08 July 2013


Pemansuhan Akta Hasutan hanya cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Menteri Kesihatan tetapi belum diputuskan Kabinet, kata Datuk Seri S Subramaniam.

"Perdana Menteri ada hak untuk membuat keputusan kerana beliau pemimpin negara. (Tetapi) kita belum putuskan lagi. Kenyataan Perdana Menteri akan dibincang dan keputusan terbaik akan dibuat Kabinet.

"Jika akta itu menyekat kebebasan bersuara, kita perlu semak kembali," kata Ahli Parlimen Segamat itu ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, Najib perlu membentang Akta Keharmonian Negara ke Kabinet dan menyuarakan pendapatnya jika mahu melaksanakan undang-undang berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika ditemui di Parlimen pula, berkata akta itu penting bagi mengekang 187 kumpulan gangster di negara ini .

Shahidan berkata, kumpulan gangster itu mengupah peguam mewakili mereka jika dihadapkan ke mahkamah dan akta berkenaan perlu bagi mengekang gejala berkenaan.

"Mereka bebas ke sana-sini, malah ada peguam mewakili mereka. Adakah kita mahu mereka bebas seperti itu?"

Najib membuat pengumuman untuk memansuh Akta Hasutan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional, pada Julai 2012.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya akta itu dimansuh tanpa memikirkan impak negatifnya.

Atas desakan pihak tertentu sebelum ini, katanya, kerajaan memansuh Ordinan Darurat 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu menyifatkan pemansuhan undang-undang tertentu sebelum ini dilihat menjurus kepada peningkatan kadar jenayah.

Pemimpin pembangkang sebelum ini membangkitkan isu berhubung pemansuhan Akta Hasutan dan menggesa Najib menunaikan janjinya. - 8 Julai, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About