RSS
Facebook
Twitter

06 July 2013

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Liang Teck Meng yang menuduh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai akaun pesisir luar bernilai RM322 juta tidak bersedia untuk mengulangi tuduhannya di luar Parlimen - di mana beliau tidak akan diberikan perlindungan undang-undang.

“Pendedahan” Ahli Parlimen Simpang Renggam itu di Parlimen Selasa lalu, menimbulkan keraguan apabila beliau dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider hari ini, enggan menyahut cabaran untuk mengulangi tuduhan itu.

Liang ketika membahaskan ucapan Yang Dipertuan Agong, memberitahu Parlimen Anwar mempunyai lebih RM332 juta dalam akaun di 20 bank di Israel, China, Amerika Syarikat dan Singapura. Beliau mendakwa maklumat itu diperolehi berdasarkan kepada saluran Wikileaks.

Anwar dalam respon segeranya mencabar Liang mengulangi tuduhan itu di luar Parlimen di mana beliau tidak lagi diberikan imuniti terhadap tindakan tuntutan undang-undang.

"Mengapa perlu saya memberi respon? Mereka mengalih fokus ucapan saya. Saya bercakap mengenai keselamatan negara," katanya hari ini.

Beliau juga menegaskan untuk berpegang kepada kenyataannya dan tidak akan menarik balik tuduhan itu.

Liang sudah pun memberikan dokumen mengenai akaun bank berkenaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan menyerahkan kepada kerajaan untuk menyiasat tuduhan itu.

Semalam, Liang tetap dengan pendiriannya untuk tidak memohon maaf dan menarik balik kenyataannya apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memintanya menjelaskan tuduhan terhadap Anwar selepas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) meminta Liang meminta maaf.

Liang memberitahu Parlimen beliau akan berbuat demikian hanya jika penyiasatan mendapati tiada elemen campur tangan asing seperti didakwanya.

Rabu lalu, Ahli Parlimen PR, Jeff Ooi memfailkan usul memohon Liang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana menyalahgunakan keistimewaan Ahli Parlimen.

Anwar berkata, tuduhan itu tidak berasas dan mendakwa tiada langsung perkara itu dalam Wikileaks.

"Ia dimulakan oleh blogger Umno dan kemudian disiarkan Utusan Malaysia," katanya. - 5 Julai, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About