RSS
Facebook
Twitter

09 July 2013

DAP: Khalid Ibrahim tidak telus isytihar aset

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengecam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung arahan beliau yang membenarkan Exco kerajaan negeri Selangor hanya mengisytiharkan sebahagian sahaja aset mereka iaitu semasa mereka dilantik sebagai Exco.

Lim berkata, Abdul Khalid mengumumkan semalam bahawa beliau tidak akan mengarahkan Exco kerajaan Selangor untuk mengisytiharkan harta yang diperolehi sebelum dilantik menjadi Exco disebabkan faktor keselamatan peribadi serta keselamatan ahli keluarga mereka sekiranya aset mereka diketahui umum.

"DAP dengan penuh hormat tidak dapat bersetuju dengan pendapat Abdul Khalid kerana inilah alasan yang diberikan oleh Barisan Nasional apabila enggan mengisytiharkan harta mereka. Meskipun tidak bersetuju dengan Abdul Khalid, DAP tidak akan memaksa beliau untuk menguatkuasakan peraturan itu," katanya melalui kenyataan medianya hari ini.

Katanya, kerajaan Pulau Pinang menjadi kerajaan negeri pertama di Malaysia yang mengisytiharkan harta Ketua Menteri serta semua Exco, dan setakat ini keselamatan semua Exco dan ahli keluarga mereka tidak terancam.

Beliau menegaskan pengisytiharan harta sebelum dilantik menjadi Exco penting demi menunjukkan bahawa tidak wujud pertembungan kepentingan atau pun salah guna kuasa apabila keputusan dibuat oleh Exco atau Ketua Menteri.

"DAP akan mengarahkan tiga Exco serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor daripada DAP untuk mengisytiharkan harta secara umum bagi memenuhi komitmen Pilihan Raya Umum DAP terhadap ketelusan, akauntabiliti dan integriti. Tiga Exco DAP itu ialah Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan Ganapathi Rao manakala Speaker adalah Hannah Yeoh," katanya.

Sewaktu Majlis Angkat Sumpah Exco kerajaan negeri Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada penghujung Mei lalu, Abdul Khalid menegaskan semua Exco kerajaan negeri berkenaan harus mengisytiharkan aset mereka semasa Exco itu berada di dalam jawatan berkenaan.

Abdul Khalid menegaskan Exco kerajaan negeri perlu berbuat demikian kerana mereka menjalankan tugas eksekutif berbanding ADUN kerajaan negeri lain. - 9 Julai, 2013.

 

 

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About