RSS
Facebook
Twitter

08 July 2013

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mempersoal kenaikan mendadak kos perkhidmatan bas di tujuh kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hingga mencecah 500 peratus.

Beliau mengesyaki kepincangan besar berlaku sejak penguatkuasaan kontrak perkhidmatan selama lima tahun dengan Syarikat GPB Corporation Sdn Bhd.

Katanya, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) membayar RM5.36 juta setiap tahun untuk tujuh kem dan jumlah itu didapati meningkat mendadak lima kali ganda atau 500 peratus berbanding RM1.35 juta sebelum 2010.

"JLKN mengeluarkan perbelanjaan bulanan RM17,014 bagi sebuah bas atau RM85,072 bagi setiap kem pada 2010 dan 2011 yang tidak setimpal dengan bilangan penggunaannya.

"Audit mendapati purata penggunaan bulanan bas hanya dua hingga 15 kali bagi 2010 dan satu hingga 18 kali (2011). Malah, ada kem yang gagal kemuka log perjalanan bas," katanya pada kenyataan media, hari ini.

Zairil berkata, JLKN memberi maklum balas pada 13 Jun 2012 yang mendakwa kontrak perkhidmatan bas perlu bagi memudahkannya membuat perancangan perjalanan dan pengurusan berikutan kekerapan penggunaan bas rendah.

"Saya ingin bertanya kos sebenar untuk semua kem latihan di seluruh negara. Jika kos RM5.36 juta setahun untuk tujuh kem, apakah kos perkhidmatan bas bagi 81 kem, mencecah RM434 juta?" katanya.

Beliau turut mempersoal kaedah syarikat bas dilantik dan perincian perjanjian, selain meminta langkah yang dimainkan JLKN bagi menghenti pembaziran itu.

Kementerian Kewangan meluluskan 87 kem di bawah JLKN sehingga hujung 2011.

Sehingga tempoh pengauditan, sebanyak 81 kem beroperasi, tiga dalam pembinaan, dua ditutup sementara dan satu kem menunggu Surat Setuju Terima.

Mengikut Laporan Ketua Audit Negara sehingga 31 Disember 2011, seramai 596,604 pelatih menyertai program bagi tempoh 2004 hingga 2011.

Bagi tempoh 2009 hingga 2011, sebanyak RM2.031 bilion diperuntuk dengan RM1.980 bilion atau 97.5 peratus dibelanjakan. - 9 Julai, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About