RSS
Facebook
Twitter

04 July 2013

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mempersoal keputusan kerajaan Sabah dan Sarawak menghalang beberapa ahli politik dan aktivis dari memasuki kedua-dua negeri itu.

Kedua-dua negeri ini disifatkan mereka sebagai simpanan tetap untuk Barisan Nasional (BN) dan menyumbang lebih 40 daripada 133 kerusi yang dimenangi parti pemerintah itu pada pilihan raya umum lalu.

Ironinya, Sabah dan Sarawak dilihat gentar untuk membenarkan beberapa individu memasuki wilayah berkenaan semata-mata bimbang kehadiran mereka mampu mengubah pandangan masyarakat.

Tahun lalu, enam pemimpin parti pembangkang dan seorang aktivis dilarang dari memasuki Sabah dan Sarawak.

Terbaru, editor laman webSarawak Report dan Radio Free Sarawak, Clare Rewcastle Brown menerima 'layanan' sama.

Clare dihalang memasuki Sarawak semalam apabila beliau pulang untuk membuat persediaan pembelaan terhadap saman fitnah yang difailkan sebuah syarikat transnasional yang disenarai di bursa Britain dan Eropah.

Beliau yang terkenal dengan kritikan tajam terhadap pentadbiran Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa jam 1.15 petang dari Singapura, Selasa lalu.

Clare kemudian menerima notis dari Jabatan Imigresen yang menghalang dari memasuki Sarawak dan hampir tiga jam selepas itu, beliau dihantar pulang ke Singapura.

Tindakan itu mendorong kemarahan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat atas perbuatan kerajaan negeri yang disifatkan sebagai tidak adil.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, berkata kerajaan negeri menyalah guna sistem perundangan apabila melarang Clare memasuki Sarawak.

"Clare pulang untuk mempertahankan (pembelaan dalam kes saman) diri. Tiada hal lain. Ini sebahagian sistem keadilan. Tiada sebab untuk kerajaan negeri halang," katanya.

Chong yang membangkitkan kemarahan Abdul Taib berikutan pendedahan senarai 24 plot tanah bernilai RM1 bilion yang didakwa dibolot keluarga ketua menteri itu dalam Parlimen, menyifatkan kejadian itu sebagai 'salah guna kuasa.'

"Ini terang-terang salah. Ia memberi Sarawak imej buruk. Semata-mata kerana Clare mengkritik kepimpinan Abdul Taib," katanya.

Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan pula melontar pertanyaan: "Apa bentuk ancaman yang dibawa Clare kepada Sarawak. Jika dia seorang pengganas, mungkin kita boleh faham."

"Clare disaman, kemudian dihalang masuk ke Sarawak untuk kes pembelaannya. Ini betul-betul mengarut," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sabah yang pernah bertindak melampau apabila menghalang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua dari memasuki Negeri di Bawah Bayu itu.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak boleh masuk ke sesebuah negeri di negara sendiri? Apa jenis imej yang cuba dipapar kepada dunia? Inikah bentuk layanan  sesebuah negara demokratik kepada orang luar? katanya merujuk kepada Clare.

Ahli Parlimen Ranau dari BN, Datuk Dr Ewon Ebin bagaimanapun, berkata kerajaan negeri sekadar bertindak mengikut undang-undang dan peraturan negeri itu.

"Mereka tidak boleh sembarang halang sesiapa untuk masuk. Mereka ada sebab," katanya tetapi enggan mengulas lanjut.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah yang tiba di Kota Kinabalu 31 Mei lalu dihalang memasuki Sabah untuk hadir perayaan Kaamatan, sebelum Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula menerima nasib sama, sebulan kemudian.

Turut dihalang memasuki Sabah atau Sarawak ialah aktivis 'Occupy Dataran', Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin; Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan; Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan penganalisis politik, Dr Wong Chin Huat. 4 Julai, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About