RSS
Facebook
Twitter

13 July 2013

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menyediakan garis panduan berhubung kerajaan sementara selepas pembubaran parlimen pada April lalu adalah kerana tidak mendapat lampu hijau daripada pihak kerajaan, kata anggota badan penggendali pilihan raya itu Datuk Dr. P. Manogran.

Menurut Manogran lagi, kementerian berkaitan juga tidak membenarkan SPR melakukan sedemikian.

“Kementerian yang berkaitan tidak membenarkan SPR untuk menyediakan satu garis panduan kepada kerajaan sementara menyebabkan kuasa SPR untuk melaksanakan peraturan berkenaan tidak berjaya,” kata beliau semasa berucap di sebuah forum yang dianjurkan oleh Majlis Peguam di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap persepsi orang ramai yang terus menyalahkan SPR berhubung permasalahan yang berlaku semasa pilihan raya lalu sedangkan SPR sendiri sudah mengambil tindakan seperti membuat laporan polis terhadap ejen daftar pemilih yang cuai.

“Kita telah memberi kebenaran kepada ejen parti politik, badan bukan kerajaan dan wakil Institut Pengajian Tinggi untuk membantu SPR bagi melancarkan proses pendaftaran pemilih.

"Namun kita tidak menolak kemungkinan pihak berkenaan terlepas pandang atau dengan sengaja menambah butiran pemilih dalam rekod SPR. Kami telah mengemukakan laporan polis sebaik mengetahui ada ejen yang cuba menipu dalam daftar pemilih," katanya.

Manogran turut tidak menafikan kelemahan Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan pegawai SPR yang bertugas di pusat mengundi adalah disebabkan kurangnya latihan.

“SPR memberikan latihan yang berterusan kepada KTM dan mereka yang mengendalikan pilihan raya. Namun ada di antara mereka yang menarik diri di saat akhir kerana berasa kurang keyakinan ubtuk memantau perjalanan pilihan raya. Sehubungan dengan itu, SPR terpaksa mencari KTM baru dan memberi latihan yang singkat kepada mereka,” ujar Manogran.

Menggulung ucapannya, beliau berkata SPR turut memerlukan khidmat NGO bagi memantau dan memberi nasihat kepada badan itu agar perjalanan pilihan raya dapat dijalankan lebih baik pada masa akan datang.

Beliau berkata SPR juga ingin ditegur dan berubah dan sebarang permasalahan boleh diselesaikan dengan perbincangan terbuka bukan melalui ugutan dan mengumpat di belakang. - 13 Julai, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About