RSS
Facebook
Twitter

08 July 2013


Bagi menghormati bulan Ramadan dan kemenangan Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya 2013 pada 5 Mei lalu, Ketua Umno Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh menggesa PAS tidak meletak calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai depan.

Idris yang ditemui di Parlimen hari ini berkata, kerusi berkenaan adalah kubu kuat Umno dan BN yang mana parti pemerintah itu berjaya mendapat 2,434 majoriti melalui calon mereka Allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar yang meninggal dunia pada 26 Jun lepas.

"Pilihan raya tak payahlah, bagi BN menang, bagi menghormati bulan puasa ... kalau PAS tak bertanding lagi elok," kata Menteri Pendidikan II itu kepada pemberita.

Jelasnya lagi, pembangkang memerlukan 1,200 undi lagi untuk menewaskan BN dalam pilihan raya kecil tersebut yang mana jelasnya adalah mustahil untuk mengubah fikiran pengundi di kawasan tersebut dalam tempoh kurang dua bulan selepas pilihan raya umum berlangsung.

"Pilihan raya lagi duit negara rugi ...  kita boleh tumpu kepada pembangunan negara, tempat tu tempat BN ... beri je lah."

"Kali ini kita tidak sasar menang ... kita sasar majoriti bertambah kepada 4,000," tambahnya lagi.

Kerusi berkenaan kosong selepas kematian A. Rahman, yang mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 apabila menewaskan calon PAS Napisah Ismail.

Idris turut menafikan berlaku perebutan dalam BN untuk kerusi tersebut, sebaliknya mengatakan perebutan berlaku dalam parti komponen Pakatan Rakyat (PR) ekoran mereka masih belum mempunyai calon.

"Saya tahu, saya ketua Umno di sana ... Perebutan berlaku dalam PAS, mereka masih belum ada calon," katanya, dan menambah BN akan memenangi kerusi berkenaan atas kapasitinya yang kini dilantik sebagai menteri.

"Anggota Parlimen sekarang menteri pendidikan, orang Besut patut berasa bersyukur, kerana pengiktirafan telah diberi," katanya ketika ditanya keyakinan BN mendapatkan majoriti sedemikian.

Beliau turut menambah, BN Terengganu juga telah mengemukakan nama calon di kerusi berkenaan yang juga terdiri daripada anak tempatan.

PAS dijangka akan mengumumkan calon bagi kerusi Kuala Besut melalui presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Markas Besar Pemuda, Kampung Nail Kuala Besut malam esok.

Pengarah PRK DUN Kuala Besut PAS, Satiful Bahri Mamat berkata PAS Terengganu menyenarai pendek beberapa calon yang layak dan terpulang kepada PAS Pusat untuk buat keputusan pada malam ini di Kuala Lumpur.

BN melalui Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijadual mengumumkan calon parti itu berdasarkan kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh PRK DUN Kuala Besut pada 24 Julai manakala penamaan calon dijadualkan pada 12 Julai.

PRK ini merupakan yang pertama selepas berlangsungnya Pilihan Raya 2013.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi berdaftar. - 8 Julai, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About