RSS
Facebook
Twitter

09 July 2013

Malaysia bukan satu-satunya negara yang berdepan dengan gejala rasuah kerana rasuah adalah ancaman global, kata Datuk Paul Low ketika mengulas keputusan kaji selidik yang dijalankan Badan Ketelusan Antarabangsa yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia hilang kepercayaan terhadap usaha kerajaan untuk memerangi rasuah.

Low yang juga menteri di jabatan perdana menteri berkata, kerajaan sudah menjadikan perang terhadap rasuah sebagai perkara utama dalam pentadbirannya.

"Keputusan Barometer Rasuah Global yang terkini dengan jelas menunjukkan rasuah kini adalah ancaman global dan perlu ditangani dan diakui sebelum terlambat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Kita memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) rasuah sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang sedang berlangsung," katanya yang juga bekas Presiden Badan Ketelusan Antarabangsa Malaysia.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap integriti, pemerintahan baik dan hak asasi manusia itu berkata, beliau akan membentangkan keputusan kaji selidik itu kepada Kabinet.

Presiden Badan Ketelusan Antarabangsa Malaysia, Datuk Akhbar Satar, berkata kaji selidik itu menunjukkan polis dan parti politik dianggap sebagai dua institusi yang paling banyak melakukan rasuah.

Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa polis mencecah skala Indeks Persepsi Rasuah 4.0 sementara parti politik di 3.8 manakala skala 5 adalah paras paling tinggi.

Kaji Selidik Barometer Rasuah Global tahun ini dijalankan di 107 negara di seluruh dunia.

Low berkata, rasuah di bahagian yang paling banyak dijalankan kaji selidik itu didapati semakin teruk dalam tempoh dua tahun terakhir ini.

Beliau menambah, rangkaian televisyen BBC News juga menggambarkan ia sebagai `pandemik global'.

Low berkata:"Keputusan tinjauan pendapat rakyat Malaysia dalam kaji selidik itu sejajar dengan keputusan seluruh dunia, iaitu 36 negara melihat polis sebagai paling banyak melakukan rasuah diikuti badan kehakiman di 20 negara dan institusi politik di 51 negara."

Akhbar, bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipilih sebagai presiden pada 24 Mei, selepas Low, memilih untuk menerima jawatan menteri Kabinet. - 9 Julai, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About