RSS
Facebook
Twitter

06 July 2013

Undang-undang baru yang akan diperkenalkan untuk menggantikan Akta Ordinan Darurat (EO) bertujuan melindungi kepentingan awam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ibrahim, berkata perkara itu memberikan kebaikan dan berharap mereka yang sering mengadu mengenai kegiatan jenayah di negara ini akan dapat menerima cadangan undang-undang baru itu apabila ia lengkap nanti.

"Ini bukan undang-undang yang Tuhan buat. Tidak ada salahnya untuk ada sesuatu yang hampir serupa kepada EO jika ia bertujuan mengekalkan keamanan dan peraturan dalam negara," katanya ketika ditemui selepas aktiviti kepolisian komuniti di Pangsapuri Desa Mentari di Petaling Jaya, pagi ini.

Beliau berharap undang-undang baru itu akan dapat mengurangkan jumlah jenayah kejam dalam negara. Beliau sebelum itu berkata, polis sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara mengenai perundangan baru itu.

"Kita kemukakan dua cadangan kepada mereka dalam perbincangan itu," katanya tetapi enggan memberi komen apabila ditanya jika undang-undang itu akan memasukkan undang-undang tahanan tanpa bicara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis lalu mengatakan draf pertama set undang-undang baru untuk menggantikan Akta Ordinan Darurat kini berada di Jabatan Peguam Negara dan memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menggubal undang-undang baru berikutan peningkatan jenayah selepas pemansuhan EO dan Akta Kediaman Terhad.

Zahid berkata, pihaknya mengalu-alukan idea dan cadangan daripada semua pihak, termasuk pemimpin pembangkang dan organisasi bukan kerajaan untuk memastikan undang-undang baru itu berkesan.

The Malaysian Insider, baru-baru ini ada menemubual beberapa pegawai polis kanan yang mendakwa pemansuhan undang-undang itu menyaksikan lebih 2,500 tahanan dilepaskan semula ke dalam masyarakat. Polis juga mendakwa bekas tahanan itu kini kembali melakukan jenayah sementara polis tidak dapat bertindak.

Pengumuman Zahid itu berlaku selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri memberitahu Parlimen pada Isnin kerajaan menyediakan undang-undang baru untuk menggantikan EO bagi menangani jenayah yang semakin meningkat.

Ahli Parlimen Puchong dari DAP, Gobind Singh Deo bagaimanapun menyalahkan kerajaan atas peningkatan jenayah dalam negara. Beliau berkata, kerajaan sepatutnya menerima dan mengaku keputusan awal untuk memansuhkan undang-undang itu dibuat secara tergesa-gesa, tanpa kajian menyeluruh berkenaan akibat yang bakal terjadi.

Gobind berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya berminat menjaga imej kerajaan apabila keputusan memansuhkan EO diambil.

Katanya, Najib tidak sepatutnya berselindung di belakang aduan polis untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa undang-undang pencegahan itu diperlukan sebagai justifikasi membawa kembali EO.

Tambahnya, Najib patut mengiktiraf bahawa masalah yang berlaku sekarang bukan kesan daripada pemansuhan EO semata-mata tetapi gabungan banyak faktor dan itu adalah kegagalan kerajaan dan perlu mencari jalan penyelesaiannya.

Gobind mencadangkan undang-undang yang berkaitan dengan kuasa polis dan tahanan perlu dibaik pulih secara keseluruhan dan kerajaan perlu melihat semula kertas kerja dan menyediakan pelan holistik untuk menyelesaikan masalah itu di semua peringkat.

Sementara itu, cadangan untuk memperkenalkan undang-undang baru seumpama EO itu menerima kritikan daripada Majlis Peguam dan organisai bukan kerajaan. Majlis Peguam bimbang ia adalah jelmaan semula EO manakala, pemimpin pembangkang, R Sivarasa mendakwa ia tidak relevan sementara Suaram mendapati ia satu helah. - 6 Julai, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About