RSS
Facebook
Twitter

20 March 2014

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana memfitnah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berhubung isu 'Projek IC' di Sabah.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong ketika membenarkan saman Wan Ahmad, memutuskan bahawa plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap Mohamad atau Mat Sabu dan Mustafa selaku defendan.
Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua defendan itu membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Wan Ahmad.
Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Wan Ahmad terhadap pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, Ketua Pengarang akhbar itu Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel Aziz Muda.
Lee berkata mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan Angkatan Edaran Enterprise adalah pencetak akhbar Harakah, Ahmad Lutfi sebagai ketua pengarang dan Aziz sebagai penulis artikel berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Ahmad membayar kos berjumlah RM20,000 kepada ketiga-tiga defendan itu.
Pada 5 Mac tahun lepas, Wan Ahmad memfailkan saman dengan mendakwa Mohamad mengeluarkan kata-kata fitnah dalam artikel bertajuk 'Wan Ahmad Tidak Boleh Dipercayai' dan 'Ragu Peranan SPR - Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan' dalam Harakah edisi Jumaat 1-3 Feb 2013 selepas ditemu ramah pada 29 Jan 2013.
Dalam penyataan tuntutannya, Wan Ahmad mendakwa defendan mengeluarkan perkataan fitnah bahawa beliau tidak boleh dipercayai kononnya kerana terbabit dengan pengeluaran kad pengenalan biru dalam 'Projek IC' di Sabah.
Sementara itu, Wan Ahmad yang hadir dalam prosiding hari ini melahirkan rasa gembira atas keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya.
"Dengan keputusan itu, saya bersyukur dan gembira kerana ia membersihkan nama saya, maruah diri dan menamatkan beban malu diri saya dan keluarga akibat kenyataan fitnah itu," katanya sambil menambah bahawa kewibawaan SPR juga turut tercalar akibat fitnah itu.
Beliau juga berharap keputusan yang diberikan oleh mahkamah hari ini akan menjadi pengajaran dan teladan kepada sesiapa sahaja supaya lebih berhati-hati apabila bercakap dan mengeluarkan kenyataan yang melibatkan peribadi dan maruah pihak lain.
"...saya perhatikan sesetengah daripada mereka (pemimpin politik) begitu mudah dan gemar mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dan berunsur fitnah terhadap pihak lain," kata Wan Ahmad.
Wan Ahmad hadir bersama peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan peguam Nor Hazira Abu Haiyan.
Semua defendan yang tidak hadir dalam prosiding hari ini diwakili peguam Azhana Mohd Khairuddin. – 20 Mac, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About