RSS
Facebook
Twitter

06 July 2013

Dilema Wanita Umno

Ini adalah dilema Umno: dua wanita bersemangat tinggi dan degil percaya mereka mempunyai reputasi yang tidak tercemar dan layak untuk bertanding bagi posisi paling kanan dalam Wanita Umno.

Mereka tentunya sengaja memekakkan telinga dan enggan mendengar pendapat daripada luar parti, malah sememangnya yakin dengan kekuatan parti apabila Umno menang besar sebagai parti tunggal yang berjaya memperoleh 88 daripada 222 kerusi dipertandingkan.

Apa kritikan terhadap Datuk Seri Shahrizat Jalil? Rakyat Malaysia pasti tidak melupakan kisah geran kerajaan bernilai RM250 juta yang diberikan kepada keluaganya bagi projek National Feedlot Corporation (NPC) yang kemudian disalahgunakan.

Rakyat juga tahu mengenai pembelian kondominium mahal, kereta mewah dan bagaimana akhirnya pertaruhan kerajaan itu gagal dengan teruk. Dari Perlis hingga ke Johor mengkritik beliau dan berpendapat beliau patut memberi ruang kepada pemimpin muda.

Respon Shahrizat? "Mereka boleh pergi mati."

Bagaimana dengan krtikan untuk Datuk Seri Azalina Othman Said? Rakyat Malaysia masih ingat laporan rasuah dan salah guna kuasa dalam Kementerian Pelancongan, yang akhirnya tuduhan itu menamatkan harapannya untuk mendaki kedudukan dalam arena politik Malaysia.

Azalina juga bersikap acuh tidak acuh dengan persekitaran negatif yang menyelubungi tawarannya untuk bertanding kerusi tertinggi dalam Wanita Umno.

Katanya: "Rekod saya bersih. Saya menang kerusi Pengerang, itu bermakna saya tidak `berhutang' dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Apa kesalahan saya ketika menjadi Menteri Belia dan Sukan? Apa yang saya buat? Saya melaksanakan tugas dengan baik," katanya.

Berita mengenai kedua-dua wanita yang menawarkan diri untuk duduk di jawatan tertinggi dalam Wanita Umno itu mengundang tawa dan ada juga yang tidak percaya.

Ini membawa kepada persoalan adakah ini yang terbaik boleh Umno berikan: ahli politik dengan masalah berbangkit.

Ahli parti yang berfikiran teliti mula bimbang dengan setengah juta pengundi baru yang datang setiap tahun hingga pemilihan akan datang dalam tempoh lima tahun, Umno menyajikan takdir yang hanya memfokuskan kepada apa yang boleh diterima kepada parti dan bukan untuk populasi lebih besar.

Ahli ini sedar bahawa majoriti golongan muda rakyat Malaysia mengundi pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana percaya pemimpin Barisan Nasional(BN) rasuah dan tercemar. Dalam tempoh lima tahun, kumpulan pengundi ini akan menjadi lebih besar.

Bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, berkata parti tidak lagi mampu berfungsi seperti biasa dan keadaan ini memerlukan sayap Umno mempunyai barisan kepimpinan di setiap peringkat yang ada kredibiliti dan boleh dipercayai.

"Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi Wanita Umno dan ahli parti perlu memastikan mereka tidak hanya memilih pemimpin sekadar untuk mengisi kekosongan jawatan dalam parti," kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Beliau menasihatkan ahli parti supaya memikirkan mengenai masa depan parti, yang pastinya akan tergambar dalam pemilihan ketua mereka.

Warlord

Sehingga hari ini, hanya Shahrizat dan Azalina yang sudah menawarkan diri bertanding di gelanggang Wanita Umno. Maka, begitu kurangkah pemimpin dalam Wanita Umno?

Pengarah Institut Pengajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin tidak berpendapat begitu.

"Dalam Wanita Umno ada pelapis, namun politik dalaman Umno adalah politik warlord yang akan bertanding hanyalah warlord bukan orang suruhan. Daipada Kumpulan orang suruhan akan dipilih salah seorang daripadanya oleh warlord sebagai pengganti.

"Sistem ini diamalkan kerana kepentingan warlord mesti terjaga walaupun selepas bersara. Kepentingan orang suruhan pula dipayungi oleh warlord. Itulah putaran ganas dalam pimpinan Umno, termasuk dalam Wanita Umno," katanya.

Seorang lagi ahli akademik, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Dr Kartini Aboo Talib turut bersetuju masalah dalam Wanita Umno tidak ada kena mengena dengan kekurangan calon berkelayakan.

"Ada beberapa nama seperti Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) dan Noriah Kasnon (Sg Besar) serta Datuk Rosnah Shirlin yang sudah mencapai usia matang untuk bergerak dalam sayap Wanita Umno dan tidak lagi berpayung di sebalik Puteri Umno. Tetapi kepimpinan wanita kurang memberi peluang untuk calon lain dalam Wanita untuk maju.

"Shahrizat dan Azalina masih lagi yakin yang pucuk pimpinan mereka mendapat sokongan kuat Wanita. Bukan saja persoalan keyakinan diri, tetapi juga isu status quo yang dilihat sangat signifikan dalam kepimpinan Wanita," katanya.

Selain itu, katanya, ahli-ahli bawahan juga tidak berani mencabar kedua-dua pemimpin ini kerana bimbang nasib mereka yang mungkin berdepan dengan perpecahan dalam parti hingga memusnahkan organisasi wanita dan ini tidak dianggap sebagai persaingan yang sihat.

"Budaya feudal dan patron client masih kuat berakar umbi dalam Wanita Umno. Selagi mentaliti ini tidak berubah, Wanita Umno akan hilang taringnya dan menjadi kurang effektif dalam memberi impak penyertaan wanita dalam politik," katanya.

Calon pra pemilihan

Shahrizat, yang menewaskan Rafidah pada 2009 dalam merebut mahkota Wanita Umno, berkata beliau mengalu-alukan lebih ramai wanita bertanding dalam pemilihan kali ini. "Lebih ramai lebih baik dan saya mengalu-alukan lebih ramai wanita tampil dan menawarkan diri untuk mengetuai Wanita Umno," katanya.

Ada kemungkinan, isu pencabar yang terhad ini disebabkan ada pencalonan pra pemilihan daripada kepimpinan tinggi parti.

Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sedar mengenai kebimbangan terhadap kualiti calon yang menawarkan diri mereka untuk bertanding dalam pemilihan parti.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memberitahu The Malaysian Insider, keputusan muktamad senarai calon berada di pejabatnya.

"Pejabat Setiausaha Agung Umno akan memutuskan perkara itu selepas meneliti banyak kriteria calon berkenaan. Kita akan memeriksa rekod mereka dalam parti, kesetiaan mereka dan banyak lagi faktor lain sebelum membenarkan mereka bertanding. Mereka boleh menawarkan diri untuk berebut mana-mana jawatan, tetapi kami yang akan memutuskan," katanya. - 6 Julai, 2013.

 

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About