RSS
Facebook
Twitter

06 July 2013

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Ahli Parlimen Pandan keliru apabila membuat perbandingan salah antara statistik suruhanjaya itu dengan jawapan bertulis Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low, Khamis lalu.


Mengikut SPRM, statistik itu berdasarkan peratusan bilangan kes satu-satu tahun manakala jawapan yang dibaca di Dewan Rakyat merujuk bilangan orang yang dituduh dan disabit antara 2009 hingga 2013.

"Pengiraan secara terus (2009 hingga 2013) oleh Rafizi dengan membandingkan jumlah pertuduhan dan sabitan (jawapan bertulis) tidak tepat," kata kenyataan media suruhanjaya itu, hari ini.

Mengikut SPRM, pendakwaan sesebuah kes tidak semestinya berakhir dalam tempoh sama tahun berkenaaan kerana esetengah kes mengambil masa lebih lama.

"Untuk kes pada 2012, tidak semestinya akan mendapat keputusan sabitan pada tahun yang sama.

"Ia disebabkan sesuatu kes pertuduhan mengambil masa perbicaraan yang panjang sebelum diketahui keputusan sama ada kes disabit atau dilepaskan oleh mahkamah," kata kenyataan itu.

Di samping itu, SPRM berkata kebanyakkan kes pada tahun 2013 masih belum mendapat keputusan penghakiman.

"Bagi kes-kes terbaru, yang dituduh pada tahun 2013 (sehingga Mei), kebanyakan kes masih berlangsung dan belum ada keputusan penghakiman."

Mempelawa Rafizi bertemu untuk penjelasan lanjut, SPRM tetap mempertahan statistik 89 peratus sabitan ke atas pesalah yang dikeluarkan Julai lalu selepas ia dipersoal Pengarah Strategik PKR itu.

"Dalam kenyataan pada 4 Julai 2013, sabitan kes di mahkamah rendah iaitu mahkamah sesyen antara Januari dan Jun 2013 ialah 89 peratus.

"Daripada 162 kes yang selesai dibicara, 144 disabitkan kesalahan. Baki sembilan peratus atau 15 kes ialah kes yang dilepas dan dibebas manakala tiga kes (dua peratus) ialah kes yang dilepas tanpa dibebas," kata kenyataan berkenaan.

Mengikut SPRM, jumlah itu berbeza pada 2012 yang menyaksikan 339 kes (85 peratus) daripada 400 kes yang selesai dibicara ialah kes yang disabitkan kesalahan.

Pada 5 Julai lalu, Rafizi menggesa SPRM memberi penjelasan terhadap dakwaannya mengatakan statistik yang dikeluarkan oleh Low dan SPRM, tidak sepadan.

Low mengumumkan pada 2012, SPRM mencapai 67 peratus kadar sabitan, berbeza dengan statistik SPRM yang menunjukkan kadar capaian sabitan kes ialah 85 peratus.

Pemimpin PKR itu menyifatkan perbezaan itu mencabar keyakinan umum terhadap SPRM dan mendakwa setiap lima laporan kepada SPRM berakhir dengan satu kes sahaja dibuka. 6 Julai, 2013.

 

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About