KUALA TERENGGANU, 17 Jun Seorang lelaki yang dipercayai penagih
dadah cedera selepas ditembak di paha apabila dia bertindak liar cuba menyerang
anggota polis dengan sebilah kapak dalam kejadian di Kampung La, Hulu Besut.
Dalam kejadian pukul 6 petang semalam itu, pemuda yang berusia 29 tahun
berkenaan juga dipercayai kurang siuman selain berada di bawah pengaruh dadah,
kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan, di sini hari ini.
Mengulas kejadian kepada pemberita, Manoharan berkata polis mendapat laporan
mengenai seorang lelaki mengamuk dengan sebilah kapak di kampung itu selepas
permintaannya untuk mendapat wang tidak dilayan oleh anggota keluarganya.
Suspek ke rumah bapa saudaranya untuk mendapatkan wang dipercayai bagi
membeli dadah, namun bapa saudaranya tidak melayan permintaan itu menyebabkan
suspek mengamuk.
"Bapa saudaranya yang takut dengan insiden itu membuat laporan polis di
Balai Polis Pasir Akar kira-kira pukul 6.45 petang dan 15 minit selepas itu tiga
anggota polis yang melakukan rondaan tiba di tempat kejadian," katanya.
-- LAGI
POLIS-AMUK 2 (AKHIR) KUALA TERENGGANU
Menyedari ketibaan kereta polis, suspek bertindak menyerang dengan menetak
bonet kereta serta mengacu kapak tersebut kepada anggota polis yang keluar
daripada kenderaan itu.
Katanya suspek kemudian cuba menyerang anggota polis berkenaan
menyebabkannya melepaskan satu tembakan ke arah kaki suspek bagi mempertahankan
diri.
"Tembakan itu mengenai paha suspek namun suspek bertindak melarikan diri ke
rumah neneknya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian. Polis kemudian
berjaya memberkas suspek," katanya.
Menurut Manoharan lelaki itu kini dirawat di Hospital Besut dan keadaannya
dilapor stabil, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan
kerana cubaan membunuh.
0 comments:
Post a Comment