RSS
Facebook
Twitter

07 June 2013


KUALA LUMPUR, 6 Jun Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang

baharu akan memohon peruntukan tambahan kira-kira RM300 juta kerana bajet

kerajaan sebanyak RM358 juta bagi tahun 2013 tidak mencukupi.

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata ini kerana kementerian itu mengambil

alih Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sejak Mei lepas.

"Industri pelancongan merupakan sumber pendapatan negara yang terpenting,

setiap ringgit yang diberi bukan wang yang dibelanja sebaliknya satu pelaburan

untuk negara," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke JKKN

di Kompleks Pejabat Kerajaan Bukit Perdana, Jalan Datuk Onn di sini.

Beliau mahu peruntukan untuk kementerian itu mencapai sasaran sebanyak RM700

juta pada tahun ini meskipun bajet pelancongan bagi 2013 meningkat 42 peratus.

Sebagai Menteri Pelancongan yang baharu, Nazri mengakui masih banyak lagi

yang beliau perlu pelajari berkaitan industri itu di negara ini.

-- LAGI

NAZRI-BAJET 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Beliau bersyukur kerana mempunyai barisan pegawai yang sangat dedikasi dan

terbukti berjaya menyelamatkan industri pelancongan di Sabah daripada terjejas

akibat insiden pencerobohan oleh pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu,

awal tahun ini.

Nazri berkata statistik terbaharu menunjukkan jumlah pelancong yang

berkunjung ke Sabah tidak mengalami kemerosotan ketara.

Sementara itu, dalam ucapannya, Nazri berkata lawatan hari ini mengembalikan

nostalgia lama kerana JKKN di Blok F kompleks berkenaan merupakan tempat pertama

diduduki beliau sebaik dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada

1995.

"Banyak pihak mengkritik saya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun

Razak melantik saya sebagai Menteri Pelancongan yang baharu sedangkan saya

sebelum ini dikenali sebagai menteri yang garang, jadi bagaimana seorang yang

garang dapat menarik pelancong... sebenarnya, saya terpaksa garang apabila

berdepan dengan musuh politik saya," katanya.

Nazri juga berkata beliau seorang yang sangat lembut dan mengumpamakan

situasi dirinya sebagai "tak kenal maka tak cinta".

-- BERNAMA



0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About