GEORGE TOWN, 7 Jun (Bernama) -- Pasukan mencari dan menyelamat dijangka
dapat mengeluar mangsa di dalam sebuah kereta yang terperangkap dalam kejadian
runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr
Lim Chong Eu di Batu Maung selewat-lewatnya petang ini.
Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pasukan itu
sedang menunggu jentera pemotong untuk memotong besi penyambung yang runtuh itu
bagi membolehkan mangsa dibawa keluar.
Katanya runtuhan tanjakan konkrit dan besi itu terpaksa dipotong lebih kecil
bagi memudahkan kerja mengalihkannya dibuat.
"Seramai 350 anggota dan pengawai yang terdiri daripada polis, bomba,
Jabatan Pertahanan Awam, pekerja syarikat pembinaan dan kontraktor sedang
bertungkus-lumus mengalihkan runtuhan konkrit dan besi seberat beratus-ratus tan
itu.
"Jurutera yang bertugas memaklumkan mangsa yang terperangkap mungkin boleh
dikeluarkan tengah hari ini atau selewat-lewatnya petang ini selepas bantuan
jentera pemotong tiba," katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian di sini
hari ini.
-- LAGI
RUNTUH-MANGSA 2 GEORGE TOWN
Abdul Rahim berkata setakat ini sekurang-kurangnya seorang mangsa di dalam
sebuah kereta jenis Perodua Kelisa warna hijau terperangkap di dalam runtuhan
berkenaan.
Beliau berkata menerusi kamera khas yang digunakan bomba mendapati terdapat
seorang mangsa di bawah timbunan berkenaan, bagaimanapun identiti dan jantina
mangsa belum dapat dikenal pasti kerana hanya beberapa bahagian badannya sahaja
yang kelihatan.
"Mangsa juga tidak memberi sebarang respons dan bila dipanggil mangsa tidak
menyahut. Saya percaya beliau berada dalam keadaan kritikal berdasarkan
fizikalnya," katanya.
Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga sejak semalam
supaya membuat laporan polis kerana maklumat yang diperoleh setakat ini
berbeza-beza.
"Ada yang kata beberapa buah kereta dan motosikal terperangkap di dalam
runtuhan itu, jadi saya minta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga
supaya membuat laporan polis.
-- LAGI
RUNTUH-MANGSA 3 (AKHIR) GEORGE TOWN
"Setakat ini kita cuma nampak sebuah kereta dan kita juga gagal untuk kenal
pasti nombor pendaftaran kenderaan berkenaan berikutan ia telah pecah. Kita
hanya nampak nombor (pendaftaran) 437 sahaja," katanya.
Abdul Rahim berkata operasi mencari dan menyelamat sejak 12 jam lepas itu
berdepan beberapa kesukaran berikutan perlu menggunakan beberapa jentera
termasuk kren seberat 300 tan.
"Pelbagai usaha sedang dijalankan oleh semua pihak dan kita mendapat
kerjasama yang baik daripada syarikat kontraktor termasuk beberapa syarikat lain
bagi membantu melancarkan kerja operasi ini," katanya.
-- BERNAMA
EIY KTK AZE ROS
0 comments:
Post a Comment