RSS
Facebook
Twitter

27 January 2014

Tindakan tiga parti pembangkang dan lima lagi memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah, kata Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh.

Beliau berkata saman itu juga adalah remeh dan menyusahkan selain Mahkamah Tinggi tidak diperuntuk bidang kuasa untuk mengisytiharkan keputusan pilihan raya sebagai batal dan tidak sah.
"Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa satu-satunya kaedah bagi mencabar keputusan pilihan raya ialah dengan memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di mana pilihan raya itu diadakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada pendengaran permohonan bagi membatalkan saman PAS, DAP, PKR serta lima yang lain terhadap Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan enam anggota SPR.
Amarjeet juga berkata plaintif tidak mempunyai kuasa tindakan terhadap SPR di bawah undang-undang bertulis atau Common Law.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah agar anggota SPR dipecat dan membentuk satu SPR baru bagi mengadakan semula pilihan raya.
"Kuasa memecat anggota SPR juga terletak kepada Yang di-Pertuan Agong selepas satu tribunal yang ditubuh bagi tujuan itu mengesyorkan pemecatan anggota berkenaan," katanya.
Sementara itu, peguam Tommy Thomas berkata hujah yang dikemukakan SPR tidak mempunyai merit.
"Kami berhujah bahawa tindakan dan peninggalan secara sengaja SPR sehingga menyebabkan kegagalan dalam penggunaan dakwat kekal, dengan jelas mengakibatkan prejudis serta memudaratkan plaintif," katanya.
Hakim Datuk Rosnaini Saub kemudian menetapkan 7 Februari ini untuk memutuskan permohonan yang difail Abdul Aziz Ogos lepas bagi membatalkan saman PAS, DAP, PKR, Dr Dzulkefly Ahmad, Saifuddin Nasution Ismail, M. Manogaran Arifin Abd Rahman dan R. Abbo.
Plaintif menamakan Abdul Aziz, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Datuk Mohamad Ramji Ali, Datuk Dr P. Manogran, Datuk Christopher Wan Soo Kee, Datuk Md Yusop Mansor dan Abdul Aziz Khalidin sebagai defendan.
Mereka mendakwa anggota SPR berkenaan gagal melaksanakan tanggungjawab dalam mengendali pilihan raya umum ke-13.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About