RSS
Facebook
Twitter

24 January 2014

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memaklumkan kedudukan Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Kerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Norita Mohd Sidek dalam perbadanan negeri itu diserahkan kepada setiausaha kerajaan negeri (SUK).

Menteri Besar Selangor itu berkata, selain kedudukan dua individu itu diputuskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi, keputusan itu turut bergantung kepada pengarah kewangan negeri Selangor.
"Itu terpulang kepada SUK negeri dan pengarah kewangan. Kita mesti mengikut peraturan negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penganugerahan Zon Bersih pihak berkuasa tempatan di Shah Alam malam ini.
Abdul Khalid berkata apa yang menjadi perhatian kerajaan negeri pada masa ini adalah mengkaji keputusan yang diambil PKNS yang disifatkannya sebagai satu keputusan luar biasa.
"Mengenai kajian bagaimana PKNS dapat melakukan beberapa perkara yang tidak biasa dilakukan oleh mana-mana perbadanan. Sebab PKNS satu institusi yang sudah wujud sejak 30 tahun," katanya.
PKR Selangor pada Selasa mendesak pengurusan tertinggi PKNS mengembalikan Mohamed Azmin dan Norita kepada jawatan asal mereka agar siasatan lanjut dapat dijalankan.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani dari PKR berkata, Norita berdepan dengan penganiayaan setelah ditukarkan ke pejabat SUK tanpa melalui siasatan lanjut.
Katanya, bekas Pengurus Besar PKNS Datuk Othman Omar tidak wajar dipersalahkan atas keputusan untuk tidak meneruskan kedudukan Mohamed Azmin sebagai ahli lembaga pengarah kerana kuasa terletak di tangan menteri besar.
“Saya tidak nampak perkara ini salah PKNS. Jawatan Azmin perlu segera dikembalikan kerana kontraknya tamat pada 2015. Ini namanya melucutkan jawatan. Saya tidak nampak pelucutan jawatan Azmin ini sebagai satu usaha mengemaskini pentadbiran kerana beliau adalah ahli lembaga pengarah,” katanya.
Abdul Khalid berkata beliau tidak mengetahui bagaimana khabar angin berhubung peletakan jawatannya tersebar di media.
Beliau berkata pihaknya juga tidak berhasrat untuk memanjangkan isu terbabit dan tidak meletakkan keutamaan bagi menyiasat perkhabaran itu.
"Itu kita akan kaji kemudian. Itu tidak penting.
"Pada ketika itu saya berada di Pulau Carey dalam satu sesi percambahan minda bersama ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) dan pegawai kanan negeri," katanya.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata pada Khamis laporan akhbar bahasa Cina Sin Chew Jit Poh yang mendakwa Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu telah membuat keputusan menggantikan Abdul Khalid adalah tidak benar.
Katanya, MPP tidak pernah membuat keputusan menggugurkan Abdul Khalid, maka tidak timbul isu Mohamed Azmin akan menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar. 

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About