RSS
Facebook
Twitter

14 January 2014

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengajak pemimpin Umno yang tidak berpuas hati dengan badan itu agar berdialog dengan mereka.

Abdul Aziz mempertahankan diri dengan berkata, mereka tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik seperti yang didakwa.
Abdul Aziz berkata demikian sebagai mengulas desakan pemimpin Umno, Datuk Saifudin Abdullah yang meminta beliau dan rakan-rakannya dalam SPR melepaskan jawatan untuk membolehkan mereka yang lebih berintergriti memimpin badan itu.
Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, SPR bersedia mengadakan perbincangan bagi memperbetul segala dakwaan bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu bagaimanapun ia memadai sekiranya pertemuan diadakan secara tertutup dan bukan melalui dialog terbuka.
"Seperti yang sedia maklum badan ini ditubuhkan sebagai suruhanjaya bebas untuk melaksanakan tiga tanggungawab utama seperti termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan ia bukan untuk membantu mana-mana parti politik  menang dalam pilihan raya.
"Saya harap beliau (Saifuddin) bersabar dan saya sedia berbincang untuk mengetahui fakta dakwaan tersebut  dan beliau boleh berjumpa saya di SPR," katanya.
Saifudin terdahulu dalam kenyataannya mendesak  ahli  SPR untuk meletakkan jawatan berikutan kencenderungan badan itu membantu Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya.
Saifuddin yang berkata demikian dalam satu forum malam tadi mendakwa negara memerlukan  pengerusi SPR berpendirian bebas memandangkan keyakinan awam terhadap badan itu semakin menurun.
"Kita memerlukan sesaorang yang tekun, bebas dan seorang yang tidak bercakap bagi pihak BN. Awak tidak membantu BN sebenarnya," kata Saifudin.
Menjawab mengenai pendirian Pakatan Rakyat (PR) yang menolak pensempadanan semula kawasan pilihan raya sekiranya dikendalikan ahli SPR sedia ada, Abdul Aziz berkata, badan itu hanya menjalankan tanggungjawab mengikut undang-undang.
"Saya rasa elok mereka baca dan faham betul-betul mengenai Perlembagaan Persekutuan kerana SPR hanya menjalankan tanggungjawab," katanya.
Dalam forum malam tadi, Pengerusi Bersih 2.0, Marina Chin juga mendesak agar semua ahli SPR  diberhentikan dan akan bertindak melancarkan petisyen untuk membuat tuntutan itu dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Bersih 2.0 turut memutuskan  persempadanan semula kawasan pilihan raya yang sedang dilaksanakan dihentikan oleh SPR sehingga masalah berkaitan dengannya diselesaikan.
Kenyataan itu datang ketika pendedahan kontroversi bekas pemimpin SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman yang berkata persempadanan semula dibuat untuk mempastikan sesetengah pihak kekal berkuasa.
Sebelum ini, Abdul Aziz berkata, PR perlu menyokong persempadanan semula kawasan pilihan raya kerana ia untuk kebaikan semua pihak termasuk mereka.
Kali terakhir persempadanan semula dilakukan adalah pada 2003.
Proses itu pernah dijalankan pada 1958, 1974, 1984 dan 1994. Semua persempadanan semula dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun kecuali antara 1958 dan 1974 (16 tahun) dan 1994 hingga 2003 (9 tahun).
Setiap kali pilihan raya umum diadakan selepas persempadanan semula, pencapaian BN akan melonjak dalam pilihan raya tersebut. Antaranya pilihan raya 1986, 1995 dan 2004.
Tiada persempadanan semula dibuat menjelang pilihan raya 2013 kerana BN tidak mempunyai majoriti 2/3 untuk meminda perlembagaan.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About