RSS
Facebook
Twitter

20 January 2014


Kedutaan Jepun hari ini mengesahkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memerlukan kebenaran khas bagi mengunjungi negara matahari terbit itu setelah beliau pernah dipenjarakan di Malaysia.
Jurucakap kedutaan, Tomoko Nagai, berkata Anwar sebelum ini memasuki Jepun pada 2011 dan 2012 melalui kebenaran khas dan kedatangannya baru-baru ini tidak melalui proses tersebut.
“Sesiapa yang pernah dipenjarakan sebelum ini sama ada di Jepun atau negara lain selama setahun atau lebih akan dinafikan memasuki Jepun.
“Anwar sebelum ini memasuki Jepun pada 2011 dan 2012 dengan kebenaran khas tetapi beliau tidak membuat permohonan sama pada kali ini,” katanya kepada akhbar milik MCA, The Star.
Anwar pada Ahad mendakwa beliau dihalang memasuki Jepun oleh pihak imigresen negara itu setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 6.45 pagi.
Katanya, beliau bukan sahaja gagal melepasi pemeriksaan imigresen bahkan diarahkan pulang menaiki penerbangan pertama dari Tokyo.
"Saya dihalang memasuki Jepun dan diarahkan untuk pulang ke Malaysia. Sekiranya tidak berbuat demikian, pihak berkuasa akan menahan saya.
"Apabila saya tanya, kenapa dihalang? Mereka beritahu ia adalah kerana hukuman sebelum ini pada 1999," katanya melalui Facebook.
Nagai berkata, tindakan yang diambil itu selari dengan Akta Imigresen Jepun (Pengenalan Pelarian dan Kawalan) yang terpakai kepada mereka yang pernah dipenjarakan dan berhasrat memasuki negara itu.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kerajaan Malaysia tidak ada kena mengena dengan keputusan kerajaan Jepun menghalang Anwar memasuki negara tersebut.
Beliau berkata, setiap negara mempunyai hak kedaulatan untuk menghalang sesiapa sahaja yang mereka fikirkan tidak diingini daripada memasuki negara mereka atas apa jua sebab.
Anifah menyifatkan dakwaan "ada tangan tersembunyi" yang mungkin memainkan peranan dalam keputusan kerajaan Jepun sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana sepanjang pengetahuannya, beliau tidak mempunyai kedudukan untuk mempengaruhi negara seperti Jepun menyekat individu daripada memasuki negara itu.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About