RSS
Facebook
Twitter

27 January 2014

Wan Muhammad Azri Wan Deris hari ini menafikan beliau merupakan blogger terkenal "Papa Gomo" seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes tuntutan saman berjumlah RM100 juta.

Wan Muhammad Azri memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa ketua pembangkang itu bertindak mengemukakan saman terhadapnya kerana percaya beliau merupakan "Papa Gomo" yang menyiarkan perkataan dan video seks fitnah.
"Reputasi dan imej saya tercalar dengan begitu teruk sekali kerana masyarakat umum kini menganggap bahawa saya adalah orang bersalah.
"Saya rasakan bahawa plaintif (Anwar) telah memfitnah saya dan saman ini memberi satu impak buruk terhadap intergrasi dan reputasi diri saya," beliau memberitahu dalam satu kenyataan saksi yang dibaca di mahkamah.
Anwar memfailkan tuntutan saman fitnah ke atas Wan Muhammad Azri pada 21 Mac, 2013 apabila mendakwa blogger “Papa Gomo” memuatnaik empat siri video seks termasuk kata-kata fitnah ke atas dirinya.
Anwar turut berkata Wan Muhammad Azri juga memuatnaik pautan gambar laman berunsurkan fitnah mengaitkan dengan beliau.
Dalam kenyataan balasnya, Wan Muhammad Azri sekali lagi menafikan beliau merupakan pemilik blog berkenaan.
Defendan mempertahankan tiada menerima surat saman malah tidak mengenali ketua pembangkang itu secara peribadi.
Ekoran dari itu, Anwar telah memfailkan afidavit bagi membuktikan Wan Muhammad Azri merupakan pemilik blog tersebut.
Anwar pada masa sama mendakwa defendan berulangkali menyerang beliau secara peribadi termasuk partinya dengan kata-kata fitnah, bagaimanapun tiada sebarang tindakan penguatkuasaan dilakukan.
Dalam sesi soal jawab bersama peguam Anwar, N. Surendran, defendan mendakwa beliau tidak menerima sebarang surat saman daripada ketua pembangkang yang dialamatkan kediamannya di Kuala Lumpur.
Walaupun disoal berulang kali, Wan Muhammad Azri tetap mengakui tidak menerima langsung surat saman tersebut sambil menegaskan beliau sudah berpindah ke Pulau Pinang dan rumahnya di Kuala Lumpur kini diduduki adiknya.
"Tidak ada satu pun keluarga saya ada menerima notis tersebut daripada peguam Anwar dan saya hanya terima melalui peguam," katanya.
Merujuk kepada blog “Papa Gomo”, Wan Muhammad Azri bagaimanapun bersetuju dengan Surendran bahawa kandungan tersebut mengandungi unsur kata fitnah melampau.
Beliau juga mengakui tidak mempunyai perasaan marah kepada Anwar sebelum ini namun kecewa kerana kes saman tersebut.
Antara lain beliau turut mengaku tidak mempunyai hubungan rapat dengan mana-mana lawan ahli politik Anwar.
Namun beliau tidak menafikan pernah mengambil gambar dengan beberapa pemimpin tinggi Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Selain itu, Wan Muhammad Azri tidak bersetuju dengan dakwaan Surendran beliau menipu mengenai identitinya sebagai “Papa Gomo”.
Beliau kemudiannya ditanya kembali oleh peguamnya Jasbeer Singh Kaura.
Wan Muhammad Azri mempertahankan tindakannya mengambil gambar bersama dengan pemimpin Umno bukan merupakan satu kesalahan.
Beliau juga menegaskan tidak terlibat dalam kes fitnah Anwar dan tidak mengetahui siapa bertanggungjawab berhubung isu tersebut.
Hakim Rosilah Yop menetapkan sidang perbicaraan disambung esok.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About