RSS
Facebook
Twitter

15 January 2014

Faktor permintaan, bekalan dan cuaca selain musim perayaan, menjadi antara punca utama mempengaruhi kenaikan atau penurunan sesuatu barang di pasar, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengesahkan perkara ini dengan membuat tinjauan sendiri di Pasar Borong Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

"Saya mahu memahami rantaian bekalan sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil laut serta sejauh mana keuntungan yang diambil kira daripada pihak pekebun/nelayan, pemborong sehingga peruncit.
"Hasil lawatan ini saya dapati kenaikan harga petrol hanya memberi kesan kecil kepada barang di pasar borong ini. Sebagai contoh sebuah kontena yang membawa bahan berkenaan hanya mengalami tambahan kos petrol antara 50 sen hingga RM1," kata Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno, kepada pemberita selepas tinjauan itu.
Oleh itu tidak benarlah anggapan bahawa penurunan subsidi harga petrol semata-mata menjadi faktor utama kepada kenaikan harga barang, katanya.
Beliau berkata memandangkan kos sara hidup menjadi isu nasional dan melibatkan semua pihak, adalah menjadi tanggungjawab setiap menteri untuk turun padang, bagi membantu memantau dan menyampaikan maklumat kepada kementerian berkenaan (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan).
"Ini bagi menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memastikan tiada kenaikan harga tidak munasabah dan kesempatan diambil oleh pihak terlibat terhadap pihak pengguna," kata Khairy.
Beliau berkata risalah mengenai harga barang terkini oleh KPDNKK akan diedarkan kepada pengguna melalui Skuad Pengguna Pergerakan Pemuda Umno yang ditubuhkan di setiap negeri supaya mereka jelas tentang harga semasa dan dapat membuat perbandingan harga sesuatu barang.
"Pemuda (Umno) juga meminta kementerian supaya menggerakkan kempen menyenaraikan kedai-kedai harga patut yang disahkan bagi membantu rakyat membeli barangan keperluan," katanya.
Mengenai isu pusat Giatmara di Selayang yang diarah berpindah oleh kerajaan negeri Selangor, Khairy percaya ia mempunyai unsur politik kerana notis diberikan tanpa membuat sebarang rundingan.
"Kenapa tidak duduk berbincang dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar (dan Wilayah) terlebih dahulu? GiatMara ini ialah tempat kita beri latihan kemahiran vokasional yang berfaedah dan lahirkan modal insan berguna.
"Saya minta kerajaan negeri Selangor supaya kaji balik tentang kedudukan tanah, jangan sampai nak halau, kerana institusi itu telah 20 tahun beroperasi di lokasi berkenaan," kata Khairy.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About