RSS
Facebook
Twitter

15 January 2014

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan dakwaan beliau terlibat dalam tindakan tidak menyambung Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), sebaliknya ia dicadangkan oleh Pengurus Besar PKNS, Othman Omar.

Abdul Khalid menegaskan, keputusan terhadap Azmin itu bukanlah tindakan yang dibuat oleh parti kerana exco jelasnya hanya meluluskan cadangan itu.
"Keputusan diluluskan exco. Exco bukannya satu parti, tetapi sekumpulan. Keputusan tidak sambung Azmin dibuat oleh Pengurus Besar PKNS. Ia bukan keputusan parti. Exco tidak buat keputusan itu," kata Abdul Khalid ketika sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) hari ini.
"Dalam minit mesyuarat exco tiada siapa yang disingkir. Surat sudah diberi kepada Azmin dan beliau terima. Exco terima keputusan mereka," katanya, dan menambah keputusan itu telah dibuat pada 4 Disember 2013 lalu.
Abdul Khalid, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang turut memberi jaminan akan mendedahkan minit mesyuarat serta surat Othman dalam masa dua minggu lagi.
"Kami akan keluarkan surat dan minit mesyuarat exco pada 4 Disember, dalam dua minggu lagi. Saya sedang lihat Akta Rahsia Rasmi," katanya lagi.
PKNS adalah konglomerat milik kerajaan Selangor yang merupakan syarikat hartanah dan pelabur utama dalam perniagaan di Selangor.
Azmin sebelum ini telah disahkan tidak disambung lagi sebagai ahli Lembaga Pengarah PKNS.
Azmin dan Abdul Khalid sememangnya diketahui berbeza pandangan dalam banyak perkara.
Malah pelantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar bagi penggal kedua sememangnya tidak disenangi PKR Selangor yang dipimpin oleh Azmin.
Namun, PKR juga tidak boleh melakukan apa-apa kerana PAS dan DAP yang masing-masing mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahukan Abdul Khalid kekal dan tidak bersedia menerima Azmin.
Azmin sebelum ini juga merungut apabila pimpinan pusat PKR tidak melakukan perbincangan dengan parti di peringkat negeri dalam urusan pelantikan menteri besar Selangor bagi penggal kedua.
Hasilnya, hubungan keruh di antara kerajaan negeri Selangor pimpinan Abdul Khalid dengan PKR negeri pimpinan Azmin semakin membarah.
Ahli Parlimen Gombak itu juga dilihat banyak mengkritik pendekatan pentadbiran Abdul Khalid, sebagai contoh dalam bajet kerajaan negeri apabila beliau membidas Abdul Khalid kerana hanya memfokuskan kepada perbelanjaan mengurus semata-mata dan tidak perbelanjaan pembangunan.
Selain itu,  Azmin membidas Abdul Khalid dalam isu kenaikan gaji yang termasuk dalam belanja mengurus bagi menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu.
Azmin turut menggesa pelaksanaan kenaikan gaji itu ditangguhkan.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About