RSS
Facebook
Twitter

27 January 2014

Anwar sah bertanding di DUN Kajang

PKR hari ini mengesahkan akan meletakkan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dikosongkan oleh Lee Chin Cheh, semalam.

Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
"Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat setuju meletakkan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Kajang," kata Abdul Khalid.
Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan keputusan PKR meletakkan Anwar, Abdul Khalid berkata: “Kalau saya tidak setuju saya tiada di sini."
Anwar yang turut hadir pada sidang media itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut spekulasi beliau bertanding di DUN Kajang bagi mengambil alih kedudukan menteri besar Selangor daripada Abdul Khalid.
"Itu sekadar spekulasi ... tidak berbangkit isu itu," kata Anwar.
Anwar berkata, peletakan beliau sebagai calon di DUN Kajang akan digunakan sebagai lonjakan prestasi khidmat PKR kepada masyarakat di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, PKR akan menjelaskan kepada pengundi Kajang keperluan untuk pilihan raya kecil di DUN berkenaan.
"Kami akan jelaskan, Khalid, Azmin akan membantu. DAP dan PAS penting, semua perlu untuk pengundi Kajang tahu kenapa kami perlu pilihan raya kecil ini," katanya.
Beliau berkata, cadangan dirinya untuk bertanding di kerusi berkenaan juga diutarakan oleh rakan komponen PR daripada PAS dan DAP.
"Ada konsensus dalam PKR dan kami bawa kepada DAP dan PAS untuk mencalonkan saya, saya tiada pilihan kecuali untuk bertanding," katanya.
Turut hadir pada sidang media berkenaan adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Lewat petang semalam, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee mengesahkan peletakan jawatan beliau.
Tindakan itu menimbulkan spekulasi Anwar akan menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar, memandangkan hubungan dingin antara Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali dan Abdul Khalid dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, beliau boleh meletakkan jawatan sekiranya kepimpinan PR mencapai konsensus dan mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, katanya sehingga kini tiada perbincangan dilakukan pucuk pimpinan tiga parti pembangkang dalam pakatan itu mengenai perkara berkenaan.
"Saya boleh berundur sekiranya pakatan pembangkang mencapai konsensus untuk menggantikan saya tetapi tiada perbincangan mengenainya sehingga kini," katanya, semalam.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About