ANALISIS: PAS, Umno dan PKR sedang bergolak panas sekarang ini bagi menghadapi mesyuarat agung pemilihan masing-masing.
Ketika PAS dan Umno akan menyelesaikannya hujung tahun ini, PKR pula akan melaksanakan pemilihannya Mei tahun depan.
"Masing-masing tidak boleh kata mengata antara satu sama lain kali ini. Masing-masing ada masalah tersendiri untuk diselesaikan," kata seorang penganalisis politik mengenai suasana pemilihan parti politik kali ini.
PAS akan mengadakan Muktamar Tahunannya November ini. Selangor dipilih sebagai tuan rumah untuk muktamar yang mempunyai pemilihan ini.
Menjadi amalan PAS untuk mengadakan muktamar yang ada pemilihan di 'natural ground' iaitu ibu negara Kuala Lumpur berbanding negeri-negeri.
Namun, kali ini Selangor terpilih yang boleh juga dikira berada di 'natural ground' iaitu Lembah Klang. Pemilihan Selangor mungkin kerana kemudahan yang ada di negeri Pakatan ini untuk menampung bilangan perwakilan dan pemerhati yang bakal hadir.
Ramai menjangka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menang tanpa bertanding kerana tidak ada tokoh yang jelas untuk mencabar kewibawaan beliau dalam memimpin parti Islam itu.
Cucukan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang berkata Datuk Husam Musa tokoh yang paling layak untuk memimpin PAS menuju masa depan tidak akan membawa kepada Husam menentang Ustaz Hadi dalam pemilihan ini.
"Saya hanya 1/10 dari Tok Guru Haji Hadi dan hanya 1/10 juga dari Tok Guru Nik Aziz," kata Husam dalam satu pertemuan dengan sekumpulan wartawan di rumahnya bulan lalu.
Namun, untuk jawatan timbalan presiden dan naib-naib presiden, ia bakal menyaksikan pertarungan sengit di kalangan pimpinan PAS. Mohamad Sabu akan mempertahankan kerusi timbalan presiden. Beliau sendiri yakin, akan bakal dicabar.
Salahudin Ayub, Husam dan Datuk Mahfuz Omar selaku naib-naib presiden juga bakal dicabar dengan sengit kali ini. Kemenangan Ustaz Idris Ahmad sebagai ahli Parlimen Bukit Gantang, Nasrudin Hassan sebagai ahli Parlimen Temerloh dan pemilihan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan memungkinkan perkara ini.
Idris dan Nik Amar pernah bertanding merebut jawatan ini namun kalah sebelum ini. Nasrudin pula pernah berkata, ini adalah penggal terakhir beliau selaku Ketua Pemuda PAS.
Umno
Di dalam Umno pula, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kini masih tidak membuat pengumuman untuk bersetuju dengan cadangan beberapa pihak dalam parti itu supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak ditandingi.
Kajian yang dibuat oleh Pusat Kajian Politik dan Pilihanraya Universiti Malaya (Umcidel) pula mendapati Muhyiddin lebih popular berbanding Datuk Seri Najib Razak dalam Umno.
Apatah lagi isteri masing-masing. Puan Sri Norainee Abd. Rahman, isteri Muhyiddin jauh lebih popular berbanding isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansoh. Apa yang penting lagi, Muhyiddin tahu hal ini.
Namun, 'taiko besar' di belakang Umno kini adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainudin. Kedua-dua bekas pemimpin Umno ini sangat besar pengaruhnya dalam menentukan hala tuju dan kepimpinan Umno.
Selepas pilihan raya umum baru-baru ini, Dr Mahathir dikatakan hampir membuat kenyataan sama sebagaimana beliau buat terhadap Tun Abdullah Badawi selepas kegagalan BN mendapat kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya 2008 lalu.
Mahathir dikatakan mahu membuat kenyataan, Najib patut berundur sebagaimana berundurnya Pak Lah selepas gagal mendapat majoriti dua pertiga. Namun ia tidak berlaku.
Najib jelas tertekan dengan keputusan pilihan raya umum ke 13 lalu. Hampir semua setiausaha dan pegawainya yang dipilih beliau supaya bertanding kalah dalam pilihan raya itu kecuali Datuk Jailani yang menang di Hulu Terengganu.
Datuk Mohd Shafei Abdullah kalah di Wangsa Maju, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh kalah di Parlimen Kota Bharu, Datuk Sahlan Ismail tewas di Pokok Sena, Datuk Latt Shariman Abdullah kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan dan Datuk Mohamed Suffian kalah di Kuantan.
Orang harapan beliau, Datuk Seri Ali Rustam yang disebut bakal dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri jika menang kalah di Parlimen Bukit Katil.
Datuk Abdul Ghani Othman yang Najib sandarkan untuk menghalang kemaraan DAP di Gelang Patah, Johor juga gagal. Ghani dikatakan akan memegang jawatan Menteri Kewangan jika menang. Kini Ghani dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby dengan gaji RM100,000 sebulan oleh Najib.
"Bayangkan apa yang kami boleh buat. Dalam keadaan Kedah kita boleh menang, dua setiausaha kamu boleh tewas. Dua MB harapan kamu juga kami boleh selesaikan." Begitulah kata-kata yang dihamburkan kepada Najib.
Mungkin kerana tekanan itulah, Najib dikatakan mencuba pelbagai option dalam memperkuatkan kedudukannya dalam Umno. Antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR ditawarkan untuk menyertai kabinetnya.
Anwar ditawarkan untuk menjadi timbalan perdana menteri manakala empat pemimpin kanan PKR ditawarkan untuk menjadi menteri. Namun semuanya ditolak oleh Anwar dengan alasan tidak mahu meninggalkan rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR). Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail kepada penulis.
"Najib memang cuba berjumpa dengan Anwar di Jakarta dalam lawatan mereka berdua ke negara itu baru-baru ini, namun dielak oleh Anwar," kata Saifudin.
Anwar yang terlebih awal berada di Jakarta. Mereka sepatutnya berkongsi bilik VVIP di lapangan terbang Jakarta semasa Najib sampai dari Kuala Lumpur pertengahan Jun lalu. Namun Anwar mengelaknya dengan meminta agar beliau boleh memasuki kapal terbangnya 15 minit lebih awal.
Perkara ini disahkan oleh Dr Rahim Ghouse, pegawai kanan Anwar yang bersama-sama dengan Anwar dalam lawatan itu.
Umno buat pertama kalinya tahun ini akan menggunakan sistem pemilihan kepimpinannya secara langsung oleh perwakilan dari cawangan di seluruh negara. 146,500 perwakilannya akan mempunyai hak memilih siapa pemimpin mereka kali ini.
PKR
Poster calon PAS menghiasi sekitar Kuala Besut. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 24 Julai, 2013.Ketika PAS dan Umno panas dalam menghadapi pemilihannya, PKR juga panas.
Kenyataan timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali beberapa hari selepas PRU ke 13 lalu memperlihatkan perkara ini.
Tema PKR bukan parti kroni dan anak beranak jelas ditujukan beliau kepada Anwar sendiri.
PKR akan mengadakan perhimpunan khas hujung tahun ini. Ia bertujuan memperkemas tatacara pemilihan bagi memastikan kekecohan yang berlaku dalam pemilihan sebelum ini tidak berulang lagi.
Perhimpunan yang ada pemilihan pula akan diadakan bulan Mei tahun depan. Ini bermakna period kempen PKR lebih panjang lagi berbanding PAS dan Umno yang akan selesai hujung tahun ini.
Azmin disebut-sebut bakal bertanding merebut jawatan Presiden PKR yang kini disandang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah. Mengikut perlembagaan PKR, setiap orang hanya layak memegang jawatan presiden selama tiga penggal sahaja. Ini bermakna, Wan Azizah boleh memegang jawatan itu satu penggal lagi.
Di pihak yang menyokong Anwar pula, tujuh tokoh dipertaruhkan untuk mempertahankan serangan Azmin dan kumpulannya. Antaranya adalah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Saifuddin, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli jika Wan Azizah memutuskan tidak akan mempertahankan jawatannya.
Pendek kata, semua parti Melayu mempunyai isu masing-masing untuk diselesaikan dari menjaga tepi kain orang lain. Ketika Muhyiddin mahu melanggar Najib, Azmin pula mahu melanggar Anwar manakala PAS pula masuk ke 'gear gostang' apabila ulama berlawan profesional sekali lagi.