PAS mendakwa kerajaan BN Terengganu merampas dan meroboh beberapa rumah yang dibina di Kampung Lay Out, Tok Saboh, bagi kerja pembinaan pangsapuri 72 unit yang dirasmikan oleh timbalan perdana menteri Sabtu lalu.
Yang Dipertua PAS Besut Wan Azhar Wan Ahmad mendakwa tanah lot perumahan di situ diberikan oleh kerajaan Terengganu yang ditadbir oleh PAS pada 1999 hingga 2004.
Bagaimanapun, dakwanya, kerajaan BN yang kembali berkuasa selepas itu yang di bawah pentadbiran menteri besar ketika itu Datuk Seri Idris Jusoh telah membatal dan merampas kembali tanah rakyat di 'Rancangan Tanah Berkelompok' tersebut, tanpa pampasan.
"Isu sejarah rampasan tanah rakyat di Tok Saboh berlaku apabila kerajaan Umno-BN kembali berkuasa pada tahun 2004, bertindak merampas tanah-tanah Lesen Menduduki Sementara (LMS) pemberi kerajaan PAS Terengganu.
"Hari ini, di tempat yang sama, kerajaan bercadang membina pangsapuri percuma untuk rakyat.
"Jika tidak kerana pilihan raya ini, tidak mungkin rumah/pangsapuri tersebut diberi percuma," kata Wan Azhar dalam sidang medianya pagi ini.
Gambar pemilik menangis
Projek pembinaan pangsapuri empat tingkat sebanyak 72 unit telah dirasmikan upacara pecah tanah oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lalu yang bernilai lebih RM10 bilion dan disifatkan sebagai "durian runtuh" dan "mungkin diberi percuma" kepada penduduk yang terlibat.
Mengulas lanjut mengenai perobohan rumah yang didakwanya sebelum ini telah didirikan, Wan Azhar berkata sebanyak lima buah rumah yang terlibat dan salah satu daripadanya telah didiami sementara bakinya masih dalam pembinaan.
Dalam sidang media itu juga, Wan Azhar turut menunjukkan gambar pemilik rumah yang menangis ekoran perobohan rumah mereka diami dan menyedarinya selepas pulang bekerja.
"Pendapatan mereka terlalu kecil tetapi proses kemanusiaan, pada ketika itu, kepada rakyat yang miskin, telah dinafikan oleh kerajaan BN," katanya.
Wan Azhar berkata kerja perobohan terakhir Kampung Lay Out berlaku pada 4 Oktober 2012 dan mendakwa antara sebab diberikan adalah "ada projek yang akan dilaksanakan di tanah berkenaan dan lesennya tidak disambung".
"Agak mendukacitakan, pampasan tidak diberikan kepada pemilik rumah yang berkenaan," katanya.
Tuduh empat pemimpin Umno
Bagaimanapun Wan Azhar berkata beliau tidak pasti sama ada pemilik rumah yang dirobohkan atau keluarga tersebut mendapat rumah pangsapuri itu apabila ia siap kelak.
Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefli Ahmad yang turut hadir dalam sidang media itu berkata beliau difahamkan kerajaan negeri Terengganu memberi tempoh tiga tahun untuk membina rumah sebelum diberikan hak pemilikan dengan diberikan borang 5A.
"Harap-haraplah diberikan percuma. Kita nak lihat sejauh manakah (kebenarannya)," katanya.
Pada masa yang sama juga, Dr Dzulkefli mendakwa empat pemimpin Umno Besut memiliki sebidang tanah seluas satu hektar sedangkan rakyat diberikan alasan tiada tanah sewaktu mereka memohonnya.
Beliau mendakwa pihaknya mempunyai dokumen untuk menyokong dakwaannya dan enggan mendedahkan lanjut mengenai dakwaannya itu, apabila diminta oleh wartawan untuk berbuat demikian.
"Ini tradisi mendahulukan penguasa politik. Kami cabar terangkan apa sebenarnya (berhubung hal ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment