RSS
Facebook
Twitter

08 July 2013

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan perbelanjaan hampir setengah bilion ringgit pada Pilihan Raya 2013 (PRU13).

Pada sidang media di lobi Parlimen, beliau berkata, ia dibuktikan apabila SPR memohon peruntukan tambahan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibawa ke Parlimen hari ini dengan tambahan  RM60 juta.

Pengarah Strategi PKR itu berkata, peruntukan tambahan itu bagi menampung urusan kos perbelanjaan persediaan awal yang digunakan pada 2012 sebelum PRU13.

Beliau berkata, SPR diberi peruntukan RM45 juta tetapi memerlukan tambahan RM360 juta sebelum ini.

"Berkemungkinan mereka jangka PRU13 berlangsung pada 2012 tetapi sebaliknya 2013. Ini tambahan lagi RM60 juta, kalau tidak digunakan mengapa perlukan tambahan kewangan?" katanya yang menggesa SPR mengemukakan butiran perbelanjaan untuk semua jumlah peruntukan itu.

"Jumlahnya RM465 juta. Kita akan terus tanya di Dewan. Setakat ini jawapan disediakan SPR. Mereka tidak sediakan pecahan," katanya, menambah 'permohonan peruntukan tambahan' dibuat selepas ia digunakan.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata kepada Bernama jumlah sebenar perbelanjaan PRU13 hanya diketahui apabila akaun perbelanjaan pilihan raya ditutup memandangkan bayaran masih dilakukan pejabat SPR negeri.

"Dalam soal bajet, kita telus kerana perbendaharaan akan pastikan setiap kos pada PRU disertai dengan butiran dan akhirnya diperiksa dan diaudit.

"Berdasarkan pengalaman, selalunya tidak melebihi jumlah besar atau jumlah siling yang diluluskan. Dasar SPR ketika meminta peruntukan, kita tidak mahu apabila sampai setengah jalan, bajet tak cukup.

Jadi kita membuat permintaan untuk jumlah atau anggaran besar," katanya. 

Ahli Parlimen pembangkang juga sebelum ini mempersoal jumlah perbelanjaan SPR yang meningkat sekali ganda dalam tempoh lima tahun berbanding hanya RM200 juta pada PRU12.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook ketika sidang media di Parlimen hari ini turut mempersoalkan pertambahan dana berkenaan serta menyelar Wan Ahmad bercakap tanpa fakta.

"Beliau cuba sembunyikan fakta. Semalam dia cakap tidak cecah siling, tapi hari ini ada (permohonan) tambahan peruntukan RM60 juta," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawapan bertulis kepada Loke pada Isnin lalu menyatakan kos perbelanjaan mengendalikan PRU13 adalah RM400 juta.

Daripada jumlah itu, pecahan kos adalah elaun lebih masa RM5.018 juta, sewaan pengangkutan, borang semak daftar pemilih, peralatan ICT, sewaan talian, telefon dan faks dan lain-lain RM98.465 juta, bayaran perkhidmatan dan saguhati semua petugas PRU RM204.1 juta serta perbelanjaan lain RM93.354 juta.

Wan Ahmad dalam penjelasannya berkata, pertambahan siling peruntukan itu dibuat berdasarkan anggaran yang dikemukakan pejabat SPR setiap negeri sebelum dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan Perbendaharaan.

Justeru, Rafizi menggesa SPR supaya mengemukakan pecahan perbelanjaan yang digunakan pengendali pilihan raya berkenaan.

"Saya lebih runsing dengan pendirian SPR yang tidak mahu perincikan perbelanjaan mereka," katanya. - 8 Julai, 2013.

 

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About