Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu hari ini memberi amaran kepada kedutaan Vatican untuk menarik balik kenyataan menyokong penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut Kristian atau dihalau keluar.
Semalam wakil kedutaan Vatican di Malaysia, Uskup Agung Joseph Marino berkata beliau menyokong langkah Gereja Katolik di Malaysia menggunakan kalimah "Allah" kerana baginya ia adalah sesuatu yang "logik dan boleh diterima".
"Kami mengkritik keras kenyataan oleh wakil Vatican semalam."
"Diplomat tersebut telah menyalah guna imuniti diplomatik dengan mencampuri hal ehwal negara lain," kata Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Hasan Ali dalam sidang media di Kelab Sultan Sulaiman hari ini.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang juga hadir sama dalam sidang tersebut berkata mereka akan mendesak untuk menutup kedutaan Vatican tersebut sekiranya gagal memberikan penjelasan dalam tempoh tujuh hari.
"Sekiranya mereka gagal menarik balik, menafikan laporan tersebut ataupun meminta maaf, kami gabungan NGO Islam tidak akan teragak-agak untuk mendesak kerajaan supaya menutup dan menghalau kedutaan Vatican tersebut," kata Presiden Datuk Ibrahim Ali dalam sidang media sama.
Hasan kemudiaan mengecam wakil Vatican tersebut sebagai tidak mengetahui tentang sejarah kalimah "Allah" dan faham tentang penggunaannya, serta menyifatkan kenyataan tersebut melanggar hak asasi rakyat Malaysia yang majoritinya menganuti agama Islam.
"Ia melanggar hak asasi, beliau sepatutnya mengetahui tentang sejarah kalimah suci tersebut dan memahami tentang penggunaan kalimah Allah," tegas Hasan.
Selaras dengan perkara tersebut, Ibrahim juga menggesa kerajaan supaya kali ini mengambil ketegasan tentang isu ini memandangkan Perkasa sudah lama bersabar dan memberi muka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.
"Saya mahu PM tunjuk ketegasan sebagai Perdana Menteri dan juga wakil umum kepada agama Islam.
"Toleransi dan kesabaran yang kita beri kepada PM sudah sampai ke tahapnya," kata Ibrahim lagi.
Perkasa sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi melibatkan isu sama dengan penggunaan kalimah "Allah", apabila Ibrahim pada Januari lalu menyeru umat Islam membakar kitab Injil yang mengandungi perkataan "Allah" atau sebarang kalimah Arab.
Ugutan tersebut menimbulkan kemarahan pemimpin bukan Islam, terutamanya ahli politik dan agamawan, yang mengatakan pemimpin berhaluan kanan itu menimbulkan kebencian di kalangan agama dari kalangan dua agama terbesar dianuti di negara ini.
Pemimpin Islam dan Kristian saling bertikam lidah berkenaan isu kalimah "Allah", yang didakwa ekslusif untuk Tuhan umat Islam.
Sebuah gereja juga dibakar selepas Mahkamah Tinggi memutuskan pada 2009 bahawa umat Islam tidak mempunyai hak ekslusif ke atas perkataan "Allah".
Sebuah kumpulan gereja Sabah berkata kebebasan bumiputera Kristian diserang, dan mengatakan majoriti penganut tersebut datang dari negeri tersebut dan menggunakan bahasa Malaysia.
Kumpulan Buddha pula menyeru Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional, di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah kalimah "Allah" ini.
Komuniti Kristian yang membentuk suku daripada populasi Sabah dan hampir separuh daripada populasi Sarawak beribadat di gereja menggunakan Bahasa Melayu dan membaca kitab Injil berbahasa Melayu.
Dalam temubual dengan Al-Jazeera pada April lalu, Najib telah meluahkan sokongannya kepada rayuan untuk mengubah penghakiman Mahkamah Tinggi yang menghalang penggunaan kalimah "Allah"untuk masyarakat bukan Islam di Malaysia.- 12 Julai, 2013.
0 comments:
Post a Comment