Perhimpunan Bersih 4.0 akan diadakan pada Oktober jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membersihkan daftar undi sedia ada, kata Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.
Beliau berkata, penipuan SPR tidak dapat diterima dan seolah-olah menghina kebijaksanaan rakyat.
"Bersih 4.0 akan dilaksanakan pada Oktober jika SPR tidak bersihkan daftar pengundi," katanya ketika ditemui oleh pemberita selepas forum.
Setakat ini, NGO itu sudah menganjurkan tiga perhimpunan raksaksa di Kuala Lumpur untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil.
Ambiga berkata, SPR harus membersihkan nama sendiri dan bukan mengharapkan pihak lain seperti badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelesaikan kemelut badan penggendali pilihan raya itu.
"SPR cenderung menyalahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atas semua masalah yang membabitkan badan itu, namun jika saya menjadi Pengerusi SPR, puluhan laporan polis akan saya kemukakan jika berdepan dengan masalah itu," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di seminar pasca pilihan raya umum ke 13 anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, SPR harus bertanggungjawab bagi mencari bukti salah laku dalam pilihan raya, bukan mereka yang teraniaya dan tidak dapat mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu."Apa yang SPR lakukan untuk basmi masalah kes beli undi di Sabah dan Sarawak?" katanya.
Beliau menyifatkan tugas sebenar Bersih bermula selepas PRU13 dengan mendakwa persempadanan semula hanya dilakukan selepas lapan tahun tempoh persempadanan terakhir.
Bagaimanapun, katanya, perlembagaan tidak menyebutkan tarikh akhir bagi persempadanan berkenaan.
"Justeru SPR tidak perlu tergesa-gesa untuk melakukan persempadanan, namun yang penting ialah membersihkan daftar undi dan jangan mengadakan persempadanan semula jika tuntutan berkenaan tidak dipenuhi," katanya.
0 comments:
Post a Comment