RSS
Facebook
Twitter

12 July 2013

Kuala Besut: Cipta sejarah atau kestabilan?

Ketika PAS bertungkus lumus untuk menghasilkan kedudukan 16:16 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu selepas 24 Julai ini, Umno pula berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kerajaan negeri Terengganu kekal di tangan mereka.

Bagi PAS, mereka mahu mencipta sejarah baru di Terengganu. Dengan kedudukan 16:16, mereka yakin pihak yang paling untung adalah rakyat Terengganu.

"Ingat tak semasa kerajaan negeri Terengganu diperintah oleh PAS 1999 hingga 2004 lalu, siapa yang untung. Rakyat Terengganulah yang paling untung," kata seorang pemerhati politik Terengganu

Ketika itu, kerajaan Pusat di perintah BN manakala kerajaan negeri di perintah oleh PAS. Hasilnya, hampir semua rakyat Terengganu mendapat perhatian penuh kedua-dua kerajaan. Melalui wang zakat, kerajaan negeri membantu rakyat.

Kerajaan Pusat pula memperkenalkan Wang Ehsan pada ketika itu. Semua rakyat yang bermasalah akan dibantu segera oleh kedua-dua belah pihak. Pendek kata, rakyat Terengganu ditatang umpama minyak yang penuh.  Apa yang mereka hendak semuanya akan dapat.

Ada lawak terkenal ketika itu. Bila pemimpin datang, mereka akan bertanya, apa yang rakyat mahu. Rakyat berkata, "Kampung kami selalu dilanda banjir."

Pemimpin itu berkata, "Kami akan bina jambatan." Apabila rakyat berkata, "Tapi kampung kami tidak ada sungai." Pemimpin itu berkata, "Kita akan bina sungai."

Namun selepas PAS kalah pada 2004, suasana itu tidak ada lagi. Rakyat yang menerima bantuan kerajaan pusat tidak akan mendapat bantuan dari kerajaan negeri. Ini kerana, pihak yang mengendalikan bantuan itu semuanya datang dari satu pihak sahaja iaitu Barisan Nasional (BN). Hinggalah musim pilihan raya datang, suasana itu akan muncul semula.

Inilah nostalgia yang mahu dihidupkan kembali oleh PAS dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut. Ia hanya boleh dilakukan kalau PAS menang dalam pilihan raya ini dan membuka jalan untuknya kembali mentadbir Terengganu semula. Jika itu berlaku, sekali lagi rakyat yang dapat untung.

Atas dasar itulah, calon PAS memberikan fokus kepada tiga perkara dalam pilihan raya ini.

Azlan Yusof atau lebih dikenali sebagai Che Long bagi penduduk tempatan menegaskan, isu kemiskinan, kadar pengangguran dan masalah sosial adalah isu yang membelenggu penduduk tempatan dan diabaikan kerajaan, dan akan menjadi sasarannya untuk kempen bagi kerusi berkenaan.

"Saya bersedia dan strategi saya mudah. Saya akan turun padang bersama penduduk selain ceramah dan aktiviti keagamaan," katanya di sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kampung Baharu, Kuala Besut.

Bagi Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut, walaupun agak sukar, PAS mampu menang sekali lagi dalam pilihan raya ini sebagaimana menangnya beliau yang mewakili PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tahun 2008 lalu.

PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan tidak lama selepas pilihan raya umum 2008 ekoran kematian anggota Parlimennya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail. Semasa pilihan raya umum, Razali menang dengan mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu dan seorang lagi calon bebas.

Dalam PRK Kuala Terengganu, Wahid menang mengalahkan Datuk Wan Mohd Farid, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu. Wahid bertanding PRK Kuala Terengganu ketika beliau juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam pada ketika itu.

Kestabilan

Bagi BN pula, pengundi Kuala Besut perlu menyokong BN dalam pilihan raya ini bagi memastikan kerajaan negeri Terengganu yang ada stabil. Hanya kerajaan yang stabil sahaja dapat memberikan tumpuan kepada rakyat.

Ia ditegaskan sendiri oleh pengarah kempen BN Tan Sri Muhyiddin Yassin. Atas keperluan kestabilan itulah, katanya, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman diturunkan dalam pilihan raya kecil ini.

"Peranan calon penting kerana DUN Terengganu kini tidak menentu tetapi saya harap selepas 24 Julai politik di negeri ini kembali dan kekal stabil di bawah BN.

"Saya punyai penuh keyakinan berdasarkan ketokohan, kelulusan, pengalaman dan latar belakang calon dan keluarganya BN mampu mendapat sokongan," katanya pada sidang media selepas tamat proses pencalonan di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut, semalam.

Jika calon BN, Tengku Zaihan menang, bilangan Adun BN akan menjadi 17 kembali selepas berkurangan satu ekoran kematian Dr A Rahman Mokhtar 26 Jun lalu.

Namun jika calon PAS, Che Long menang, bilangan Adun BN akan sama dengan Adun Pakatan Rakyat (PR). PAS kini mempunyai 14 manakala PKR satu Adun dalam DUN Terengganu.

Jika ini berlaku, sejarah baru akan tercipta dan banyak perkara yang bakal di lihat dalam politik dan pentadbiran di negeri Terengganu. - 13 Julai, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About