RSS
Facebook
Twitter

08 July 2013

Mustapa Mohamed, 58, sudah 30 tahun tinggal di Pulau Perhentian, pulau pelancongan yang terkenal di seluruh dunia, yang terletak kira-kira setengah jam menaiki bot dari jeti Kuala Besut.

Setiap hari dianggar RM2 juta wang mengalir ke industri pelancongan di pulau ini. Ia meliputi penyewaan bot, chalet dan hotel penginapan, pembekalan dan lain-lain.

Ketika Mustapa masuk ke pulau itu, umurnya baru 18 tahun. Kepulauan itu syurga untuk nelayan. Ikan, sotong dan udang memenuhi kawasan itu.

Namun sejak beberapa tahun lalu, menjadi nelayan di situ menimbulkan masalah besar apabila kerajaan mengisytiharkan Pulau Perhentian bersama dengan Pulau Redang dan sekitarnya sebagai Taman Merin (Merine Park). 

Ia menyebabkan ikan-ikan tidak boleh ditangkap sama ada dengan pukat atau pancing. Ekoran itu, cara hidup penduduk Pulau Perhentian mulai berubah. Dari nelayan kepada pengusaha industri perlancongan.

Hari ini, Mustapa dan penduduk pulau ini bukan lagi nelayan. Hampir semua adalah pekerja dan operator industri pelancongan. Mustapa sendiri mempunyai kedai runcit di samping sebahagian rumahnya dijadikan bilik-bilik untuk pelancong sewa.

Di samping itu, Mustapa sebagaimana penduduk lain di pulau yang berjumlah 2,300 orang itu, mempunyai bot pelancong.  

Satu bot yang agak besar berharga RM50,000 digunakan untuk membawa pelancong dari tanah besar di Kuala Besut ke pulau ini. Satu lagi bot kecil yang digunakan sebagai teksi air (water teksi). 

Bot besar ini boleh memuatkan 12 pelancong setiap masa. Manakala bot kecil pula 2-4 orang setiap masa. Anak beliau, Jo, membantu.

Setiap pelancong dikenakan RM35 sehala atau RM70 untuk pergi dan balik dari pulau ke tanah besar. 

Ini bermakna, setiap trip mereka boleh mendapat RM420 atau RM840 pergi dan balik. Biasanya mereka mendapat antara satu ke dua trip sehari. Ini membolehkan purata pendapatan mereka lebih RM10,000 sebulan setelah ditolak bayaran agen tiket dan sebagainya.

Pendapatan ini lumayan bagi penduduk pulau ini  berbanding dengan menjadi nelayan. Hasilnya, hampir semua sudah meninggalkan pekerjaan asal mereka dan menjadi operator pelancongan.

Kesannya, bagi mereka dunia sudah terbuka luas. Dari nelayan ke industri pelancongan yang menyebabkan mereka terdedah ke dunia luar. Dari sikap nelayan pulau ke satu dunia baru yang memerlukan pemikiran yang lain sama sekali.

Inilah yang berlaku kepada Mustapa dan penduduk pulau Perhentian. Pemikiran mereka tidak lagi sama dengan orang Melayu pulau atau kampung yang biasa. Soal mempertahankan keindahan, kebersihan, kepuasan dan keperluan tempat tinggal menjadi perjuangan mereka.

Dengan datangnya pilihan raya kecil Kuala Besut, inilah isu yang menarik perhatian Mustapa. Beliau terus-terusan bercakap soal ketidakpuasan hati beliau dengan peranan wakil-wakil rakyat sebelum ini.

"Dr Rahman (Adun BN yang meninggal) selalu mengaku anak pulau. Memang dia lahir di pulau ini tetapi lepas lahir saja ibu bapanya berpindah ke daratan di Kuala Besut," kata Mustapa menceritakan tentang wakil rakyatnya sebelum ini. 

Dr A Rahman Mokhtar, Adun Kuala Besut meninggal 26 Jun lalu selepas 50 hari menjadi Adun untuk penggal kedua. Ia menyebabkan pilihan raya kecil terpaksa diadakan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon pada 12 Julai dan hari mengundi 24 Julai ini. 

Pada PRU13, allahyarham memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. Majoriti Allahyarham adalah 2,434 undi.

Dari 14 pilihan raya sebelum ini, pembangkang iaitu PAS menang empat kali iaitu 1959, 1969, 1974 dan 1999. Yang lainnya dimenangi BN.

Bagi Mustapa, walaupun Dr A Rahman mengaku anak pulau ini, beliau tidak berbuat apa-apa bahkan tidak rapat dengan penduduk di sini. 

"Memang masa kempen dia kata di anak pulau," kata Mustapa.

Bukan setakat tidak buat apa-apa untuk kebaikan, bahkan penyumbang kepada masalah kebersihan di sini, kata Mustapa sambil menunjukkan laluan pejalan kaki tepi pantai yang dibina oleh kerajaan sebelum ini.

"Sebelum ini, inilah laluan yang paling popular untuk mat dan mek salleh yang datang ke perkampungan kami. Sekarang tengoklah, dahlah kotor, busuk pula," katanya sambil menunjukkan sampah sarap dan sisa makanan yang ditinggalkan oleh peniaga di sebelah laluan pejalan kaki itu.

Bukan itu sahaja, pokok-pokok yang ditanam untuk keindahan laluan pejalan kaki ini juga dibenarkan untuk ditebang untuk membolehkan gerai-gerai sementara di bina.

Tanah besar

Rakan Mustapa di sebelah tanah besar juga mempunyai cerita hampir sama. Semuanya bercakap soal kemudahan asas untuk mempastikan industri pelancongan di Pulau Perhentian ini dipertahan dan dikembangkan lagi.

"Lihat stesen bas itu, sejak saya lahir hinggalah berumur lebih 40 tahun sekarang, itulah bangunannya. Cuma sekarang dicat kuning je. Itupun bukan pihak berkuasa yang cat tetapi pengusaha bas," kata Rahman Ali, seorang peniaga di pekan Kuala Besut.

Beliau yang menjual pakaian dan alatan memancing mengaku menyokong BN tetapi sentiasa tidak puas hati dengan apa yang dibuat oleh kerajaan kepada industri ini.

Sebelum ini Rahman pernah bekerja di Singapura dan Kuala Lumpur. Hasil dari jaub berjalan, beliau luas pandangan. Beliau membandingkan jeti Kuala Besut dengan jeti Lumut untuk kek Pulau Pangkor dan Jeselton Point, jeti Kota Kinabalu untuk ke pulau-pulau di sana.

"Bayangkan pekan dan pulau yang berlaku transaksi RM2 juta sehari ini tidak ada mesin ATM apatah lagi bank," keluh Rahman sambil melayan para pelancong asing yang datang membeli belah di kedai beliau.

The Malaysian Insider diberitahu, pada hari cuti kira-kira 2,000 pelancong akan berlepas dengan bot dari jeti Kuala Besut ke pulau Perhentian.

Ketika kami sampai ke jeti itu hari Khamis. Ada kira-kira 80 hingga 100 pelancong ketika itu menunggu bot untuk ke pulau Perhentian. Namun apabila kami pulang dari pulau pada hari Jumaat keesokan harinya, jeti Kuala Besut itu penuh dengan manusia. Jumaat adalah hari cuti hujung minggu di Terengganu.

Menurut Rahman ramai pelancong yang datang ke kedai beliau bertanya di mana mesin ATM. Lalu beliau beritahu, ia berada sekitar satu setengah kilometer dari sini iaitu di pekan baru Kuala Besut atau di Kampung Raja.

Pekan Baru Kuala Besut mempunyai sederet rumah kedai. Di situlah juga terletaknya klinik yang dimiliki oleh Dr A Rahman, wakil rakyat BN yang meninggal.

"Kesihan tengok mereka berpeluh jalan kaki untuk ambil duit je. Ramai juga yang minta saya carikan motor untuk membawa mereka ke mesin ATM," kata Rahman.

Beliau dan lain-lain biasanya mengenakan caj RM10 untuk membawa pelancong ke sana untuk mengeluarkan wang.

"Bayangkan kalau ada bank atau mesin ATM kat sini. Bila mereka keluarkan wang sudah tentulah barangan kamilah yang menjadi sasaran mereka dahulu sebelum berbelanja di tempat lain," keluh Rahman kesal.

Di pekan Kuala Besut juga terdapat beberapa keluarga Cina yang tinggal dan berniaga di situ. Selain berniaga, ada antara mereka membina bangunan untuk dijadikan sarang burung layang-layang. Mereka hanya memenuhi 1 peratus pengundi Cina di DUN Kuala Besut. 

"Bangunan ni di bina sekitar 1990 dulu. Masa tu, harga sekilo sarang burung ini antara RM3,000 hingga RM5,000. Sekarang hanya sekitar RM300 sahaja," kata Lee, salah seorang penduduk Cina di Kuala Besut.

Menurut beliau, harga sarang burung ini dulu sangat mahal apabila ia boleh dieksport ke Cina dan Indonesia. Namun sejak sejenis bahan dikesan dalam sarang burung walit dari Malaysia, pengimportannya dari Malaysia dihentikan.

"Yang paling kasihan adalah penduduk kampung. Mereka bina bangunan ni dengan pinjaman bank. Sekarang bila sarang ini sudah tidak ada harga, macamana mereka mahu bayar pinjaman itu," katanya.

Lee, sebagaimana operator pelancongan di Kuala Besut, sangat-sangat berharap nasib mereka mendapat pembelaan sewajarnya semasa pilihan raya kecil Kuala Besut ini. - 9 Julai, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About