RSS
Facebook
Twitter

08 July 2013

Pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kini setaraf dengan pencapaian pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan layak mendapat tempat yang sama ketika  memohon jawatan dalam kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jamil Khir berkata, Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) setaraf dengan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) iaitu kedua-dua peperiksaan akan dinilai bagi penempatan pelajar tahun enam ke Sekolah Menengah Agama.

“Jika dahulu pelajar STAM yang ingin memohon jawatan dalam kerajaan terpaksa mengemukakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kelayakan tertinggi bagi menyertai kerajaan namun kini pelajar STAM setaraf dengan pelajar STPM apabila mereka ingin memohon jawatan kerajaan dan akan mendapat gaji separas iaitu di gred S27,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan UPKK dan STAM di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu seramai 14 pelajar cemerlang dalam UPKK seluruh negara diraikan dan pelajar berkenaan menerima hadiah wang tunai, sepasang persalinan, trofi dan sijil. Manakala 11 pelajar cemerlang STAM peringkat kebangsaan diraikan dan turut mendapat hadiah sama.

Jamil Khir yang juga Ahli Parlimen Jerai itu, turut menyarankan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah sebolehnya mengelakkan Mesir sebagai destinasi pilihan mereka kerana pergolakan di negara berkenaan belum dapat dipastikan kesudahannya.

“Kita tidak dapat memastikan bila pergolakan di Mesir akan tamat. Jika saya diberi pilihan, Jordan akan menjadi pilihan destinasi bagi melanjutkan pelajaran di kawasan Timur Tengah kerana pergolakan di Mesir belum dapat dipastikan pengakhirannya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menghalang pelajar yang sudah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke negara Timur Tengah terbabit.

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal, berkata pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang sedang menuntut di Mesir berada dalam keadaan selamat dan setakat ini masih belum ada keperluan membawa mereka pulang ke tanah air.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan Wisma Putra bagi mendapatkan nasihat serta panduan mengenai keadaan di negara yang sedang bergolak itu.

Setakat ini, katanya, suasana persekitaran kawasan penempatan pelajar Mara di Mesir adalah terkawal dan mereka tidak terbabit dengan sebarang demonstrasi di sana.

Situasi politik di Mesir ketika ini tegang ekoran penggulingan Presiden Mohamed Morsi oleh pihak tentera negara itu pada Selasa dan sehingga semalam pertempuran antara penyokong Morsi dengan penentangnya di beberapa bandar raya negara itu, sudah meragut lebih 30 nyawa.

Sabtu lalu, Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh menasihati pelajar Malaysia di Mesir yang selesai menghadapi musim peperiksaan dan tidak terbabit dengan program akademik seperti latihan praktikal atau 'summer course', supaya pulang bercuti memandangkan situasi politik negara itu yang kurang stabil.

Terdapat kira-kira 1,000 pelajar tajaan Mara menuntut di Mesir kini dengan kebanyakan mereka menetap berjauhan daripada kawasan konflik. - 8 Julai, 2013.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About