RSS
Facebook
Twitter

29 July 2013

Menghidupkan Sepuluh Malam Terakhir Ramadhan



Masa berlalu begitu pantas. Sedar ataupun tidak, hari ini genaplah 19 hari kita menjalani ibadah puasa. Dalam tempoh tersebut, sudahkah kita berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap takwa dalam erti kata yang sebenar atau sebaliknya? Jika tempoh tersebut belum mampu memperlengkapkan diri kita dengan takwa, masih belum terlambat untuk kita berusaha ke arah itu. Justeru, saki baki hari-hari terakhir Ramadhan perlu kita rebut dan gunakan dengan sebaik-baiknya agar kita tidak ketinggalan mendapat manfaat yang berganda dalam meniti pemergiannya.

Jika sepuluh hari terakhir Ramadhan merupakan saat di mana Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf, dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya melaksanakan ibadah-ibadah sunat, bagaimanakah pula dengan kita? Sewajarnya contoh yang ditunjukkan oleh Baginda dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadhan dijadikan teladan kepada seluruh umat Islam pada hari ini.

Sesungguhnya pedoman yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW jelas mencerminkan kepada kita betapa tinggi dan bernilainya detik-detik terakhir Ramadhan yang sedang kita lalui saat ini. Alangkah malangnya jika kita semakin alpa dan lalai dalam melaksanakan ibadah kita pada saat-saat Ramadhan yang kian melabuhkan tirainya.

Sedangkan kita seharusnya menghidupkannya dengan meningkatkan lagi amalan-amalan sunat bagi meraih pahala berlipat ganda yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Lebih manis lagi apabila Allah SWT turut menjanjikan kehadiran malam Lailatulqadar (yakni malam yang lebih baik daripada seribu bulan) pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud: "Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran al-Karim pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam LailatulqadarMalah, jika dihitung; seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan empat bulan, ini bermakna bahawa satu malam ini sahaja adalah lebih baik daripada seluruh umur seseorang. Ia secara jelas menunjukkam bahawa keistimewaan malam tersebut tiada tolok bandingannya.

Malam Lailatulqadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam dalam mencari rahmat dan kasih sayang-Nya.

Oleh yang demikian, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka mereka akan lebih ghairah dan teruja mencari keredhaan dengan memperbanyakkan amalan dalam meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadhan.

Justeru, umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut Lailatulqadar. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Carilah malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir" (hadis riwayat al-Bukhari). Dalam salah satu riwayat yang lain, dinyatakan juga bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam-malam terakhir Ramadan. Rasulullah bersabda yang bermaksud:"Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam,maka dia juga telah menghidupkan seluruh malam itu" (hadis riwayat Abu Dawud). Di sini bermaksud, sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh sahaja dianggap telah mendapat sebahagian daripada apa yang dimaksudkan dengan Lailatulqadar.

Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan-amalan lain sepanjang malam itu. Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadhan ialah menghidupkan malam-malam tersebut dengan memperbanyakkan solat sunat seperti tahajjud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah SWT.

Selain itu, amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadhan yakni dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadah kepada Allah SWT. Iktikaf merupakan sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran Lailatulqadar.

Malah, menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini adalah berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a, bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah SWT, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya.

Dalam sebuah hadis yang lain Abu Hurairah berkata:"Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari" (hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi).

Di samping itu, kita juga turut dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah SWT. Dalam konteks ini, para Ulama telah bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam Lailatulqadar adalah doa memohon keampunan ataumaghfirah daripada Allah SWT.

Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Tirmidzi, Aisyah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam Lailatulqadar yang bermaksud: "Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku"(hadis riwayat al-Tirmidzi, 5:535).

Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu kelak" (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65).

Begitulah teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada seluruh umat Islam dalam menjalani ibadah puasa. Namun persoalannya, sejauh manakah kita mencontohi keperibadian Baginda dalam melaksanakan ibadah puasa dan menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan?

Mudah-mudahan, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadhan kita dapat bermuhasabah diri dan merenung kembali pengisian yang telah kita laksanakan sepanjang tempoh 19 hari yang telah berlalu. Jika, masih terdapat banyak lagi kelemahan dalam kita melunaskan puasa kita sebelum ini, maka masih belum terlewat untuk kita memperbaiki kelemahan tersebut agar kita mampu mencapai takwa dalam erti kata sebenar.

Artikel ini pernah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About