RSS
Facebook
Twitter

01 February 2014

Pakatan Rakyat tidak perlu bercakap untuk memembentuk kerajaan alternatif jika gagal menangani "ribut" yang berlaku di Selangor sekarang, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, sejak beberapa bulan ini negeri itu diserang beberapa isu yang menguji kepimpinannya.
Ribut yang dimaksudkan Anwar adalah isu Allah apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Persatuan Bible Selangor dan merampas lebih 300 naskah Bible berbahasa Melayu dan Iban serta isu  air.
"Walaupun kerajaan Selangor diuruskan dengan baik daripada segi ekonomi tetapi masalah gereja dan Bible isu besar di Selangor, jadi saya perlu membantunya," katanya pada sidang media di Yayasan An Nahdhoh, Kubang Semang, Permatang Pauh, Pulau Pinang, malam tadi.
Terdahulu, Anwar memberikan penjelasan kepada kira-kira 500 penduduk tempatan di kawasan Parlimennya itu mengenai keputusannya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
"Kita bercakap soal pentadbiran yang baik dan pengurusan ekonomi tetapi tidak mengambil berat kekuatan politik untuk Pakatan Rakyat adalah satu kesilapan.
"Kita tidak boleh bercakap soal kerajaan alternatif tanpa kemampuan untuk menunjuk dan membuktikan kita boleh kawal ribut ini," katanya.
Anwar berkata, parti sedang melalui strategi yang kritikal pada tahap ini kerana Selangor bergerak melangkaui sekadar menjadi negeri yang efisyen dengan pertumbuhan ekonomi membanggakan.
Katanya, Selangor perlu menjadi negeri model Pakatan Rakyat yang mampu bertahan dengan pelbagai propaganda dan tekanan berterusan daripada Putrajaya.
“Ada banyak program ditangguhkan atau dilengahkan. Seperti isu air, Khalid sudah melakukan sebaik mungkin di bawah kuasanya tetapi masih belum berjaya. Sama juga dengan beberapa perkara yang berada di bawah kuasa persekutuan.
“Khalid sudah menunjukkan kemampuannya dan keberkesanannya dalam beberapa bidang tetapi masih ada perkara yang berada di luar keupayaannya,” katanya.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili baru-baru ini mengumumkan bahawa Putrajaya sedang menghalusi butir untuk pengambilalihan bersama empat konsesi air di Selangor dan perjanjian akan dimuktamadkan tidak lama lagi, yang mungkin menjadi petanda berakhirnya masalah air di Selangor.
Menteri itu berkata, Selangor juga menyatakan sokongan kepada idea kerajaan persekutuan untuk loji rawatan air yang baru, Langat 2.
Khalid berkata, kerajaan negeri dan persekutuan akan bekerjasama mengambil alih pengurusan empat syarikat di bawah Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
Malam tadi, Anwar sekali lagi menutup isu itu ketika ditanya sama ada beliau akan menggantikan Khalid sebagai menteri besar dengan berkata, apa yang penting ialah kerajaan negeri perlu menang dahulu.
Beliau berkata, tidak elok jika perkara itu dikaitkan dengan sultan.
“Tidak adil untuk menghakimi sultan terlalu awal dalam perkara seperti ini. Tidak adil untuk rakyat bercakap. Undang-undang sudah jelas,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana beliau akan mengendalikan  tugasnya sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang dan Adun di Selangor jika menang di Kajang, Anwar berkata, perkara itu sengaja dijadikan isu hanya kerana beliau ialah Anwar.
“Setakat ini, tidak ada masalah jika anda adalah ahli Parlimen daripada Sarawak atau Sabah.
“Ia jadi masalah hanya kerana saya Anwar. Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah bukan Anwar,” katanya dan menambah Pulau Pinang hanya sejauh 40 minit dari Kuala Lumpur jika naik kapal terbang.
Anwar turut menyentuh mengenai pendapat negatif awam berhubung pilihan raya kecil di Kajang dan pencalonannya dengan berkata, adalah perkara biasa jika rakyat membangkitkan soalan dan bimbang kerana tidak menerima penjelasan mengenai apa yang berlaku.
Beliau berkata, parti akan memberi maklum balas terhadap rakyat dan harap mereka bersabar tetapi mereka menjangkakan musuh politik akan mengenakan mereka dengan hebat.
“Umno akan jadi sangat kejam dan apa yang kita tahu, mereka sudah pun bermula. Rakyat akan menjangkakan perkara itu. Akan ada fobia Anwar,” katanya dan menambah organisasi media yang dikawal Barisan Nasional akan menyerangnya.
Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan sebagai Adun Kajang Isnin lalu dan keesokan harinya Anwar diumumkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil yang masih belum diumumkan.
Pencalonan Anwar menyebabkan spekulasi tersebar luas bahawa Anwar sedang meninjau untuk mengambil alih tugas menteri besar Selangor daripada Khalid untuk menyelesaikan pertelingkahan antara Khalid dengan Pengerusi PKR Selangor dan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali. – 2 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About