RSS
Facebook
Twitter

17 February 2014

PRK Kajang perang PKR-BN

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak akan mengubah teraju kerajaan negeri, namun lebih berkisar tentang perang antara Barisan Nasional (BN) dan penyandang PKR, walaupun terdapat beberapa calon bebas yang bakal bertanding.

Walaupun Datuk Zaid Ibrahim lebih kuat dari segi politik berbanding calon bebas lain dalam PRK 23 Mac itu, para penganalisis percaya peguam itu tidak akan dapat merampas kerusi tersebut daripada PKR, yang meletakkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.
Dari segi sejarah, calon bebas jarang memenangi pilihan raya disebabkan kekurangan pengalaman politik serta tidak begitu terkenal di kalangan pengundi.
"Sebahagian besar Pilihan Raya Kecil Kajang ini adalah peperangan antara BN dan PKR. Mengikut sejarah, calon parti bebas tidak pernah menunjukkan prestasi yang baik di Malaysia. Calon bebas tidak pernah mendapat lebih daripada 3% undi," kata Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian.
Tiada seorang pun daripada 190 calon bebas bagi kerusi Parlimen ‎dan DUN menang dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) tahun lalu.
Dalam Pilihan Raya Umum 2004, calon bebas Chong Hon Min bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Sandakan.
Sebelum itu, pada tahun 1988, Tan Sri Shahrir Samad meletakkan jawatan di kerusi Parlimennya selepas dipecat daripada Umno.
Beliau bertanding sebagai calon bebas dan menang di kerusi tersebut.
Tindakan Shahrir itu menyebabkan undang-undang digubal sesiapa yang meletakkan jawatan bagi sesuatu kerusi tidak boleh bertanding dalam tempoh lima tahun.
Zaid sudahpun mengumumkan hasratnya bertanding sebagai calon bebas bagi PRK Kajang.
Di antara yang berminat untuk bertanding termasuklah kawan-bertukar-musuh Anwar, Datuk Seri S Nallakaruppan dan bekas pembantu Anwar, Yuktes Vijay.
Bagaimanapun, Ibrahim merasakan Zaid dapat menggunakan kebimbangan pengundi tentang "Rancangan Kajang" PKR untuk mendapatkan sokongan.
Pengarah Pusat Inisiatif Polisi, Dr Lim Teck Ghee berkata, Zaid yang merupakan bekas menteri de facto undang-undang semasa pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berhenti pada 2008 kerana penyalahgunaan akta yang kini dimansuhkan, ISA, akan dilihat seperti terlalu ketara niatnya.
"Zaid mungkin akan mendapat undi daripada BN dan PKR. Pengikut besarnya adalah golongan bukan Melayu kelas tengah kerana keberanian beliau bercakap tentang isu kontroversi secara terbuka dengan rasional. Akan tetapi golongan ini juga akan bimbang dengan pergerakan politiknya yang huru-hara dan logik di sebalik tindakannya terkini."
Beliau mengenepikan sebab yang diberikan Zaid, dan berkata tidak ramai yang akan mempercayai kenyataan beliau untuk mengekalkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya terus bertugas - melainkan Abdul Khalid atau pemimpin PKR yang lain mengesahkan kenyataan tersebut.
"Di sebalik kebimbangan tentang kebijaksanaan pilihan raya kali ini, para pengundi akan tetap menyokong Khalid dan Pakatan kerana ia mementingkan perkara yang lebih besar, seperti isu rasuah, kerajaan tidak efisyen, penyalahgunaan kuasa dan kenaikan kos sara hidup."
Tidak seperti calon bebas lain, Lim percaya Zaid tidak akan hilang depositnya, tetapi kempennya akan terjejas kerana kekurangan jentera parti dan sokongan daripada kumpulan dan pelobi.
"Sekiranya BN berpaling arah dan bercadang menyokong Zaid sekalipun, saya jangkakan Anwar akan menang," katanya dalam satu temubual email.
Menurut Lim, pihak yang akan kalah pertarungan ini dijangkakan calon BN, yang secara tradisinya ditandingi oleh MCA.
Lim berkata calon yang belum dinamakan itu akan dilihat orang ramai sebagai tidak ada harapan untuk menang, disebabkan rekod kejayaan parti Cina itu yang tidak seberapa.
"Calon itu akan cuba menggunakan pencalonan Zaid, tetapi daripada posisi yang lemah kerana sebab sebenar Zaid bertanding adalah untuk mengekalkan Khalid dan Pakatan dalam kuasa di Selangor."
Di sebalik kehadiran calon bebas, Anwar akan memenangi pilihan raya kecil ini dengan mudah, kata Profesor James Chin, asalkan tiada sabotaj dalaman.
"Calon bebas seperti Zaid akan cuba mengurangkan majoriti PKR. Jika yang keluar mengundi ramai, Anwar akan menang dengan majoriti yang sama," katanya merujuk kepada majoriti 6,000 yang dimenangi PKR dalam PRU13 tahun lepas.
Profesor Sains Politik dan Pengetua Sekolah Universiti Monash Malaysia, Profesor James UH Chin semasa pembentangannya di forum awam tentang sistem pilihan raya ke arah pilihan raya lebih adil sistem '1 Person, 1 Vote, 1 Value' di Dewan Sivik MBPJ pada 16 Februari. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 18 Februari, 2014. "Jika yang mengundi tidak ramai dan majoriti dikurangkan, Zaid bolehlah mendapat kemenangan moral." kata penganalisis politik dari Universiti Monash Malaysia itu.
Pada 2009, selepas dipecat Umno, Zaid menyertai PKR dan bepayung di bawah parti tersebut untuk PRK Hulu Selangor pada 2010, di mana beliau kalah kepada P Kamalanathan.
Beliau meninggalkan parti tunjang Pakatan Rakyat itu tahun selepas menuduh kepimpinan parti tersebut melakukan penipuan pilihan raya dalaman.
Zaid meneruskan dengan memimpin parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) yang tidak berapa terkenal, tetapi berhenti sebagai presidennya pada 2012.
PRK Kajang dicetuskan oleh peletakan jawatan Lee Chin Cheh.
Dalam PRU1, Lee menang dengan majoriti 6,824, selepas mendapat 19,751 undi, diikuti dengan Lee Ban Seng dari BN dengan 12,747 undi dan Mohamad Ismail dari Berjasa dengan 1,014 undi. – 18 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About