Kali terakhir Kajang dikaitkan dengan ahli politik terkenal ialah ketika bekas Menteri Kesihatan, Tan Sri Lee Kim Sai mewakili kawasan itu sebagai Ahli Parlimen Hulu Langat.
Itu kira-kira 20 tahun lalu dan ketika MCA sangat berkuasa.
Minggu lalu, penduduk Kajang mendapati mereka berpeluang diwakili oleh seorang lagi pemimpin terkenal, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan akan menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jika ketua umum PKR itu menang pilihan raya kecil.
Reaksi terhadap berita itu bercampur baur tetapi prospek mempunyai ketua pembangkang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyebabkan ia dibincangkan di semua tempat termasuk sembang di kedai kopi, di ruang tamu rumah dan tempat beribadat: mencetuskan keterujaan di kalangan penduduk, dan membangkitkan persoalan mengapa Anwar memilih bandar itu, yang terkenal dengan sate dan penjara persekutuan di Sungai Jelok.
Sementara ramai penduduk bandar di selatan ibu kota Kuala Lumpur itu terkejut dengan alasan pilihan raya kecil diadakan, perbualan mereka kini bertukar kepada kelebihan yang bakal diterima jika menerima pemimpin yang berani sebagai Adun.
“Kim Sai banyak berjasa kepada Kajang dan Hulu Langat sepanjang tiga penggal menjadi ahli Parlimen di sini. Sekurang-kurangnya beliau memastikan hospital Kajang mempunyai banyak pakar,” kata Alan Yeo, 52, yang sudah lama menetap di Kajang.
“Saya pasti semua orang mahu menteri besar jadi Adun di tempat mereka. Masalah tidak akan hilang sehari selepas dia dipilih tetapi sekurang-kurangnya Anwar dan pegawainya akan berusaha untuk menyelesaikan,” katanya dan menambah khidmat pembersihan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) tidak cemerlang sejak kebelakangan ini.
Kajang adalah satu daripada tiga DUN dalam kawasan Parlimen Hulu Langat, dua lagi ialah Semenyih dan Dusun Tua.
“Anwar sebagai menteri besar bermakna semua jenis isu dalam bandar ini boleh diselesaikan. Saya pasti dana akan diperolehi untuk menyelesaikan masalah kesesakan dalam bandar dan jalan keluar pada waktu puncak,” kata ahli perniagaan, Abdul Munir.
Calon Pilihan Raya Kecil DUN Kajang akan berusaha mendapatkan undi dalam kawasan urban meliputi 9,300 hektar itu ketika kempen. Jaringan jalan agak baik dan masa perjalanan daripada satu tempat ke tempat lain ialah kira-kira 90 minit, tanpa kesesakan.
Perjalanan dalam kawasan itu menunjukkan pembangunan pesat, terutama banyak kawasan perumahan yang baru di kawasan pinggir sempadan Kuala Lumpur dan pusat pentadbiran Putrajaya.
Bandar itu mempunyai dua pusat beli-belah iaitu Metro Kajang dan Metro Point, dua pasar raya besar, ibu pejabat MPKJ yang baru dan menyebabkan pertumbuhan statistik – ia menjadi antara kawasan paling cepat membangun di Selangor dengan peningkatan populasi tahunan 9% dan menjadi salah satu kawasan perumahan popular di negeri itu, menurut laman web hartanah.
Kawasan perumahan mewah seperti Ridgeview, Twin Palms, Sri Banyan dan Jade Hills melonjakkan harga hartanah di Kajang sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Bahagian MIC Hulu Langat, M Kalai Arasu, berkata sistem MRT Lembah Klang bermula di Kajang dan ini akan menambah lagi kelebihan Kajang. Laluan 51 km itu akan melalui Lembah Klang dan berakhir di Sungai Buloh.
“Laluan baru MRT akan masuk ke dalam bandar. Di Kajang sendiri, akan ada tiga hentian dan ini akan mempercepat pembangunan bandar dan kesesakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.
Ia juga termasuk dalam pelan induk hebat Kuala Lumpur kerana lokasinya berada di tengah-tengah antara tiga bandar utama – Kuala Lumpur, Seremban dan Putrajaya.
Pengerusi Rukun Tetangga Sungai Chua Sektor C, Chen King Chong, berkata pembangunan pesat itu juga menimbulkan beberapa masalah yang perlu selesaikan oleh bakal Adun.
“Pada masa ini, masalah terbesar ialah kesesakan lalu lintas kerana populasi meningkat berikutan kawasan perumahan bertambah.
“Ini menyebabkan jalan keluar masuk serta jalan dalam bandar turut sesak pada hampir setiap masa. Waktu punca melanda Kajang hampir setiap masa sepanjang hari termasuk Ahad,” katanya.
Ketua Sekretariat PKR Kajang, Hamzah Hassan, berkata kadar pembangunan tidak seiring dengan kesesakan lalu lintas dalam bandar.
“Pembangunan di sini memang hebat tetapi mereka tidak berfikir mengenai peningkatan trafik dan merancang sesuatu untuk mengatasinya.
“Jadi kini penduduk Kajang merana kerana terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas setiap hari kerana tiada tindakan diambil untuk memperbaiki jalan di sini,” katanya.
Kalai berkata, selain kesesakan di Kajang, pengguna jalan raya tidak gembira kerana mereka dipaksa membayar tol di laluan dari Kajang ke Kuala Lumpur.
“Kami dikelilingi lebuh raya dan terpaksa membayar tol setiap kali keluar dari Kajang ke Kuala Lumpur. Ia agak mahal. Tidak ada jalan bebas tol,” katanya merujuk kepada lebuh raya Kajang Ring Road atau Lebuhraya Silk yang dibuka beberapa tahun lalu untuk memudahkan perjalanan ke Semenyih dari Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban dan beberapa bahagian lain tanpa perlu masuk ke bandar Kajang.
Chen berkata, penduduk Kajang lega apabila kadar tol di Lebuhraya Kajang-Cheras dipotong separuh, dua tahun lalu.
“Ia agak membantu sebelum ini, tetapi sekarang saya boleh bayangkan bagi sesetengah orang, mereka terasa juga beban terutama dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya dan menambah rancangan Putrajaya untuk menaikkan kadar tol bakal menjadi isu ketika pilihan raya kecil.
Kalai berkata, ramai penduduk miskin di Kajang yang terasa kesan kenaikan beberapa barangan asas baru-baru ini seperti petrol, gula dan kadar tarif elektrik.
“Makanan yang biasanya hanya berharga RM2.50 di Kajang kini meningkat RM4.50. harga sate juga kini meningkat lebih RM1 secucuk di beberapa tempat.
“Ramai yang tahu bahawa barangan di pasar basah Kajang adalah antara yang paling mahal dalam negara,” katanya.
Peningkatan populasi di Kajang datang bersama pertambahan kadar jenayah, dan menyebabkan lebih banyak pasukan peronda kejiranan ditubuhkan untuk meningkatkan keselamatan di kawasan perumahan.
Chen, yang menjadi sebahagian daripada kumpulan peronda, berkata polis melantik Rukun Tetangga daripada kawasan perumahan untuk membantu dalam program pencegahan jenayah.
“Sebagai rakyat, kami cuba bantu apa yang termampu. Saya dilahirkan dan membesar di sini,” katanya.
Kajang mempunyai 38,965 pengundi berdaftar. Pengundi Melayu ialah sebanyak 49% sementara Cina (41%) dan India (10%).
Populasi Cina kebanyakan berada di kawasan Sungai Chua sementara orang Melayu di Sungai Sekamat, Sungai Kantan dan sepanjang kampung di Jalan Cheras. Masyarakat India pula bertaburan di sekitar kawasan Kajang tetapi kebanyakannya berada di Sungai Jelok.
Dalam Pilihan Raya Umum 2013, bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh memperolehi 19,571 undi diikuti calon MCA-Barisan Nasional, Lee Ban Seng dengan 12,747 undi dan Mohamad Ismail (Berjasa) 1,014 undi.
Tiga lagi calon bebas yang bertanding di kerusi DUN itu serta Berjasa hilang wang deposit masing-masing. – 2 Februari, 2014.
0 comments:
Post a Comment