RSS
Facebook
Twitter

19 February 2014

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah orang yang berjaya memusnahkan hujah P Waytha Moothy yang meletakkan jawatannya sebagai timbalan menteri apabila berkata pemimpin Hindraf itu bukan pemain dalam pasukan dan mendesak bajet untuk masyarakat India diletakkan di bawahnya.

Menteri lain juga nampaknya mengikuti pendedahan Khairy yang dibuat melalui akaun Twiter, dilihat sebagai usaha bersama selepas sembilan hari Waytha meletakkan jawatan.
Tetapi ia bukan kejadian luar biasa untuk Khairy membela Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan dengan lebih cepat berbanding menteri lain dan menteri Belia dan Sukan untuk penggal pertama itu dijangka memainkan peranan lebih besar pada masa depan.
Alasannya: Dalam kabinet yang sangat besar tetapi tidak cekap ini, dia bersinar. Seolah-olah orang bermata satu di kalangan yang buta.
Tidak ada menteri lain yang bersungguh seperti Khairy dalam membela Najib dan kerajaan sejak beberapa bulan lalu. Dia aktif di seluruh negara, menggunakan Twitter dan membina rangkaian di seluruh negara untuk Putrajaya.
Tambahan lagi, keyakinan semakin berkembang di dalam kem Najib, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya menyerang perdana menteri dan keluarganya, orang seperti Khairy yang akan melawan balik dan menjadi barisan hadapan pertahanan.
Sudah tentu ini adalah risiko terpaksa diambil oleh anak muda yang lebih dikenali sebagai KJ ini kerana dia tidak perlu menjadikan musuh Najib sebagai musuhnya. Tetapi adakah dia mempunyai pilihan lain?
Jika Dr Mahathir dan gangnya berjaya menghalau Najib daripada pejabatnya, sudah hampir pasti jalan Khairy ke atas akan tersekat oleh mereka yang mahu melihat dinasti Dr Mahathir sebagaimana Datuk Mukhriz Mahathir mengambil peranan utama sebagai menteri besar di Kedah.
Lagi pula, bukan rahsia lagi tujuan utama Dr Mahathir menentang Najib adalah kerana keputusannya untuk mengekalkan status quo dalam pertandingan merebut jawatan naib presiden Umno tahun lalu.
Mukhriz kalah 9 undi kepada sepupu Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, di mana kem Dr Mahathir menyalahkan undi blok dari Pahang.
Tetapi kenaikan Khairy sebagai barisan depan pertahanan Najib menunjukkan kurangnya pilihan yang ada kepada Najib.
Walaupun sebahagian besar ahli majlis tertinggi dan Jemaah menteri bersetuju sepenuhnya dengan Najib, namun mereka tidak mempunyai kekuatan dan kebijaksanaan untuk mempertahankan Najib ketika kritikan terhadapnya semakin hebat.
Ia juga merupakan satu penghinaan besar untuk Keluarga Pertama itu yang selama ini melayan Khairy secara endah tak endah kerana beliau dilihat sebagai penggerak utama dalam kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Apabila Najib mengambil alih jawatan bapa mertua Khairy pada April 2009, jawatan Kabinet tidak diberikan kepada ketua Pemuda Umno itu, tetapi sebaliknya diberikan kepada timbalannya, Datuk Razali Ibrahim.
Namun Khairy tetap bersabar dan kemudian dinamakan menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), walaupun dengan bantahan daripada puak Dr Mahathir. Difahamkan bahawa Khairy sepatutnya menjadi menteri lain, tetapi bertukar kerana ingin memuaskan hati Dr Mahathir.
Ketua Pemuda Umno itu juga merupakan ketua jurucakap Barisan Nasional (BN) dan Umno selepas PRU13, di mana BN kalah tujuh lagi kerusi kepada Pakatan Rakyat (PR).
Paling menarik, beliau akan bercakap di persidangan belia Malaysia di Manchester, United Kingdom, bertemakan "Globalisasi Belia Malaysia", yang turut dihadiri Dr Mahathir. – 20 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About