RSS
Facebook
Twitter

24 February 2014

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata meskipun Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, calon Pakatan Rakyat (PR) itu tidak akan berjaya menerajui Putrajaya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya Anwar menang di Kajang hanyalah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dan Datuk Seri Najib Razak masih perdana menteri.
"Mungkin Selangor sebuah negeri besar dan kaya raya, dia kata kalau dia menang di PRK Kajang ini adalah satu langkah paling dekat untuk sampai Putrajaya. Menang PRK sini tidak sampai ke Putrajaya.
"Yang menang sekarang BN. Perdana menteri kita Najib. Anwar kalau menang sebagai Adun. Yang menang di Kajang tidak jadi perdana menteri," katanya ketika berucap di hadapan penyokong Barisan Nasional (BN) dan penduduk setempat di Kajang, Selangor hari ini.
Dalam majlis yang turut dihadiri calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun itu, Muhyiddin mengumumkan Datuk Seri Noh Omar sebagai pengarah PRK Kajang BN.
Muhyiddin berkata, hasrat BN untuk bertanding PRK Kajang adalah bagi menyuburkan semangat demokrasi dan menunjukkan parti itu prihatin kepada kehendak rakyat.
Katanya, biar 10 kali calon seumpama Anwar datang sekalipun, BN tetap akan bertanding sebagai alternatif kepada pengundi Kajang untuk tidak terjerat dalam permainan politik PR.
“Maklum balas daripada pelbagai pihak meminta BN menawarkan diri untuk bertanding kerusi DUN Kajang. Kita sebagai sebuah parti yang mendukung semangat demokrasi yang prihatin dengan apa rakyat mahu pastinya akan menawarkan diri.
“Kita bertanding menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya hatta Anwar 10 kali datang pun, BN tetap akan bertanding di Kajang,” katanya.
Muhyiddin pada Jumaat mengumumkan Chew yang juga naib presiden MCA sebagai calon BN menentang Anwar dalam PRK Kajang setelah beberapa siri perbincangan diadakan bersama parti komponen BN.
Chew, 50, adalah bekas ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, ketua wanita MCA, timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta senator.
Selepas tiga tahun mendiamkan diri, Chew membuat kemunculan semula apabila memenangi jawatan naib presiden MCA dalam pemilihan parti Disember tahun lalu.
Muhyiddin berkata, pengundi di Kajang sewajarnya bertanyakan kepada Anwar mengapa PRK di kawasan itu perlu diadakan dan Anwar perlu menjadi calon.
Katanya, Anwar bukanlah anak jati kelahiran Selangor tetapi bercita-cita mahu menjadi menteri besar sebagai mana yang dilaporkan media.
“Sepatutnya mereka yang terpilih menjalankan tanggungjawab dan amanah apabila rakyat mengundi mereka. Agak luar biasa yang menawarkan diri mengisi kekosongan adalah Anwar.
“Kalau Anwar menang, saya andaikan satu krisis akan timbul. Bila krisis (Tan Sri Abdul) Khalid dan (Mohammed) Azmin tidak dapat diselesaikan menunjukkan bahawa kelemahan pimpinan Anwar sendiri. Dia ketua umum dan penasihat kepada kerajaan negeri, tak kan dia tak boleh selesai,” katanya.
Muhyiddin menyifatkan pengundi Kajang yang mengundi BN pada PRK 23 Mac ini sebagai satu jihad mengelakkan kemungkaran dan perselihan yang negatif.
“Bila BN membuat keputusan menawarkan calon, ia bertujuan menyelamatkan keadaan selepas pilihan raya nanti.
“Ini satu tanggungjawab dan dalam Islam disebut jihad untuk mencari kebaikan, mengelak kemungkaran, jauh daripada perselisihan perkara yang tidak baik. Ini satu kewajipan dan tanggungjawab kita,” katanya. - 24 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About