Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak tawaran Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok untuk menonton klip video Tahun Baru Cina yang didakwanya sebelum ini sebagai mempermainkan tentera yang terkorban di Lahad Datu.
Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata, beliau mempunyai banyak kerja lain daripada menonton klip video Teresa yang bertajuk "Onederful Malaysia 2014" itu.
"Saya ada kerja lebih baik. Kerja saya untuk mengurus negara ini. Saya menggesa Kok untuk tidak menggunakan platform seperti YouTube untuk tujuan politik," kata Shafie di Kuala Lumpur, hari ini.
Shafie berkata, Pakatan Rakyat (PR) seharusnya fokus membangunkan Selangor terutama selepas menyebabkan kekecohan ekoran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Shafie yang juga naib presiden Umno itu adalah antara yang pertama daripada parti itu yang menggelar klip video Kok itu sebagai "tidak menarik".
Ahli parlimen Semporna itu tersinggung dengan tindakan Kok yang didakwanya memburukkan insiden pencerobohan Lahad Datu yang turut mengorbankan 10 anggota polis dan tentera Malaysia ketika menentang pemberontak dari Sulu.
"Saya kesal dengan tindakan Teresa Kok. Rakyat Malaysia, terutama yang di Sabah mempunyai hubungan mendalam dengan insiden ini.
"Janganlah kita lupa dengan pengorbanan polis dan pasukan keselamatan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Keselamatan negara merupakan perkara paling penting jadi jangan mempersendakan isu ini," katanya di rumah terbuka Tahun Baru Cina Liberal Democratic Party (LDP) minggu lalu.
Kok bagaimanapun mempertahankan klip video tersebut dan menyifatkannya sebagai satira politik.
Beliau membuat laporan polis setelah menerima pelbagai ugutan ke atas keselamatan dirinya semalam.
Selain Shafie, Kok juga mengajak Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk menonton klip video tersebut. - 6 Febuari, 2014.
0 comments:
Post a Comment