Barisan Nasional (BN) sudah memulakan gerak kerja bagi mendapatkan maklum balas peringkat akar umbi mengenai keperluan bertanding, andainya pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang diadakan, dan siapa yang sebaiknya diletakkan sebagai calon.
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata jentera Umno dan parti-parti komponen BN mula turun pandang untuk mendapat pandangan ramai mengenai perkara itu, sehari selepas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi DUN Kajang Isnin lepas.
Beliau berkata yang penting orang ramai perlu faham bahawa PRK Kajang adalah disengajakan, semata-mata untuk menyelesaikan masalah dalaman PKR, dan seluruh rakyat Kajang dilibatkan sama oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tujuan itu.
Katanya ini bukan kali pertama Anwar berbuat demikian, kerana sebelum ini isteri ketua pembangkang itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pernah dengan sengaja meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh semata-mata untuk memberi laluan buat Anwar bertanding di kerusi itu.
"Ini pilihan raya (kecil) yang disengajakan, menyusahkan rakyat tempatan, ia pencabulan demokrasi sebenar, kalau sekali mungkin boleh dimaafkan tapi ini dah berulang, kita serah kepada kepimpinan (BN sama ada) untuk bertanding atau tidak. Apa jua keputusan, kita pikul bersama dan bersedia lebih awal, itu sebab kita mula gerak kerja lebih awal," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat sekitar Kampung Sungai Kantan di Putrajaya hari ini.
Selasa lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Anwar akan bertanding kerusi DUN Kajang ekoran peletakan jawatan oleh Lee, yang menghangatkan lagi spekulasi bahawa Anwar akan menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas menyaksikan Lee memenangi kerusi DUN Kajang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru membabitkan calon MCA dari BN, Berjasa dan tiga calon Bebas.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata semua pandangan peringkat akar umbi akan disampaikan kepada pucuk pimpinan BN, dan keputusan muktamad mengenainya akan diumumkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN nanti.
Beliau berkata ini kerana adanya kesepakatan sebenar dalam BN, dan walau calon mana sekalipun yang bertanding, benderanya tetap berlambangkan "dacing", berbeza sama sekali dengan pakatan parti-parti pembangkang yang jelas "longgar".
Menjawab satu soalan, katanya beliau optimis sokongan padu pengundi Kajang kepada BN nanti, berdasarkan fakta bagaimana mungkin Anwar yang merupakan anggota Parlimen Permatang Pauh, pada masa yang sama dapat menyumbang khidmatnya di Kajang pula.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara berkaitan kerusi DUN Kajang pada 5 Februari ini. - Bernama, 1 Februari, 2014.
0 comments:
Post a Comment