RSS
Facebook
Twitter

10 February 2014

Projek Kajang boleh cetus krisis - Tok Ki

Orang PAS terus-terusan membuat kenyataan mengenai Projek Kajang. Terbaharu oleh seorang ulamanya, Dr Mohd Ab Rahman Kajani yang menyatakan projek itu membelakangi konsep musyawarah dan muafakat.

Katanya:”Cara bertindak begini dalam membuat keputusan dasar bakal menghancurkan Pakatan Rakyat jika mendapat kuasa lebih besar lagi iaitu Putrajaya."
Kenyataan seperti ini dan banyak lagi kenyataan dalam kalangan ulama dan kepimpinan muda PAS semacam mereka ini ditunjuk untuk akur suatu grand design di luar kotak yang dirancang oleh Anwar- Saifuddin- Rafizi-Ab Rahim Ghouse. Orang PAS menjadi pendatang lewat.
Yang hairannya apabila penjelasan diberi oleh Anwar Ibrahim, ramai yang terdiam dan semacam bersetuju. Sudah tentu ada sesuatu yang lebih besar sedang diaturkan. Projek Kajang atau hendak menjadi menteri besar hanya camouflage atau penyamaran dan helah politik semata-mata.
Penulis juga membaca dengan semakin ramai kepimpinan PAS mempertikai projek Kajang ini atau membuat kenyataan supaya Khalid Ibrahim jangan undur berpunca daripada belum tahu cerita sebenarnya grand design Anwar.
Apakah lujnah politik PAS yang bersidang minggu lalu dikatakan untuk membuat suatu keputusan mempertahankan MB itu dilakukan selepas mendengar kisah grand design Anwar atau itu memang pendirian PAS juga?
Dulu selepas Muktamar PAS, isu muzakarah berbangkit. Anwar tidak memberi sokongan. Sekarang bila Anwar ghairah untuk mengadakan dialog nasional, PAS dan DAP ibarat terperangkap. Nampaknya percaturan politik banyak ditentukan oleh Anwar.
Apakah percaturan ini banyak didorong oleh survival politik peribadi Anwar kerana untuk Anwar sekali lagi ke penjara adalah sesuatu yang memeritkan apalagi dengan umur yang semakin lanjut.
Penulis tidak fikir setiap strategi dan percaturan Anwar itu disetujui oleh PAS. Dalam isu MB Selangor, PAS khabarnya berdiri teguh di belakang Khalid. Untuk PAS meneraju Selangor bukanlah satu hal yang mudah kerana DAP belum tentu bersetuju.
Kedudukan Khalid disenangi oleh PAS dan DAP dan menjatuhkannya juga tidak mudah. Melainkan kefahaman terhadap percaturan Anwar menyebabkan DAP menjadi akur dan PAS bertukar patuh.
Kalau ini terjadi apa sebenarnya grand design Anwar ini. Sepatutnya ia harus dibincangkan sesama komponen Pakatan terlebih dahulu secara kemas dan terperinci. Khalayak boleh membuat tanggapan bahawa strategi dan perancangan Pakatan banyak ditentukan oleh Anwar bukannya berlaku secara musyawarah dan muafakat seperti yang diungkit oleh Dr Mohd Ab Rahman Kajani.
Ketidakpuasan hati orang PAS terutama golongan muda mungkin soal prinsip. Persetujuan DAP mungkin soal politik. Tetapi antara prinsip dan strategi memerlukan integriti. Tanpa integriti PAS yang mendukung faktor syariah akan dilihat sebagai parti yang meletakkan politik mengatasi syariah. PAS bukan perancang bersama tetapi menjadi pengekor yang terakhir.
Kalau kalangan sesetengah orang PAS berbelah-bagi untuk Projek Kajang, kempen di Kajang mungkin menghadapi masalah. Apa-apa boleh berlaku terhadap Anwar di Kajang.
Sekiranya Anwar menang dengan majoriti kecil atau berkurangan secara moral ia menjejas reputasi kerana kata Azmin, Anwar ialah pemimpin dunia. Takdirnya Anwar kalah, niat menjadi menteri besar tidak berlaku dan niat ke Putrajaya tidak akan kesampaian. Dan ianya akan menghasilkan krisis.
PAS kalau berjuang bersendirian tidak akan sampai ke mana. Untuk bergabung dengan DAP ianya sukar berlaku. Apakah mahu tidak mahu terpaksa telan kesilapan yang dibuat oleh Anwar. Kalau itu keadaan yang ada, payahlah untuk menguasai Putrajaya.
Faktor Anwar memang penting bagi pakatan pembangkang. Untung nasibnya di mahkamah belum tahu lagi. Kalau terlepas di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan masih ada. Kalau terkena di Mahkamah Persekutuan, cita-cita ke Putrajaya juga bakal gerhana.
Tanpa Anwar bersama, penulis mengandaikan tidak mudah PAS dan DAP boleh bersama. Dengan masalah dalaman PKR, tanpa Anwar faktor pemersatu menjadi lebih payah.
PAS akan terus memperjuangkan cita-cita negara Islamnya walaupun konsep negara berkebajikan hanya sebagai suatu strategi. DAP akan tetap dengan faham sosialis demokratnya dan terus menolak keperluan negara Islam. PKR dengan faham liberal pluralisnya bercanggah dengan perjuangan Islam itu sendiri.
Kegagalan Projek Kajang mempercepat krisis terjadi. Takdirnya tanpa Anwar sebagai faktor pemersatu dan tidak adanya persefahaman antara Wan Azizah-Khalid dan Azmin lebih menyulitkan keadaan.
Grand design Anwar belum tentu terjadi dan strategi luar kotak tidak semudah itu berlaku. Melainkan Anwar mempunyai upaya meleraikan isu Wan Azizah-Khalid-Azmin dan juga Anwar dibebaskan oleh mahkamah. - utusan.com.my, 11 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About