RSS
Facebook
Twitter

13 February 2014

Datuk Seri Anwar Ibrahim sedaya-upaya melengahkan kes rayuan rayuan Liwat II kerana takut dan mengetahui kesalahan yang dilakukannya, kata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata, taktik itu termasuk usaha menyingkir peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwa raya dan permohonan untuk memanggil semula pegawai penyiasat, Jude Blacious Pereira.
"Anwar mahu lewatkan selama mungkin sebab itu dia bawa usul untuk singkir Shafee, kerana dia takut dibicara sebab dia buat salah.
"Tetapi saya juga percaya dia takut pada Shafee, sebab Shafee menang banyak kes yang rumit. Sebab itu Anwar gentar jugalah," kata Dr Mahathir yang dipetik dalam Sinar Harian hari ini.
Pada 1998, Anwar dipecat oleh bekas majikannya, Dr Mahathir atas tuduhan hampir sama yang dihadapinya ketika ini.
Selasa lalu, Mahkamah Rayuan sekali lagi menolak permohonan Anwar untuk mengenepikan Shafee atas alasan perakuan bersumpah (SD) bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis, Datuk Mat Zain Ibrahim tidak boleh diterima.
Anwar juga mengemukakan permohonan untuk memanggil semula Pereira.
Sementara itu, Anwar juga dijangka bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Kajang pada 23 Mac depan.
Spekulasi mengatakan beliau juga bakal mengambil alih jawatan menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun, Dr Mahathir membidas langkah tersebut dan menyifatkan PAS mempunyai calon yang lebih layak untuk mengisi jawatan tersebut.
Beliau berkata, PAS memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih banyak daripada PKR, iaitu 15 kerusi.
"Pas berhak untuk kerusi itu (menteri besar). Tidak bolelah dikuasai satu parti sahaja bukan macam BN, jumlah terbesar Umno sebab itu pemimpin Umno diangkat jadi perdana menteri.
"Tetapi dalam Selangor bukan PKR punya kuasa terbesar, jadi tidak patutlah mereka bolot jawatan itu untuk selama-lamanya," katanya.
Dr Mahathir berkata, Anwar tidak layak dilantik sebagai menteri besar dan bukan calon yang berhak untuk jadi perdana menteri.
"Anwar tiada hak untuk meletakkan syarat itu kepada parti di bawah PR," katanya.
Mengenai calon yang sepatutnya diletak Barisan Nasional (BN) pada PRK Kajang, Dr Mahathir berkata, tidak kisah siapa yang menjadi calon tetapi individu yang dipilih mestilah mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
"Saya berpendapat kerajaan PR tidak mungkin mampu beri khidmat yang baik pada rakyat.
"Oleh itu rakyat perlu utamakan nasib mereka sendiri, kalau mereka salah pilih, dengan hanya kerana marah dan percaya dengan tuduhan palsu terhadap kerajaan dan pilih parti lawan saya rasa ini rugi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir juga memberikan sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sarawak baru,  Tan Sri Adenan Satem yang dilantik untuk menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang meletak jawatan. - 13 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About