RSS
Facebook
Twitter

11 February 2014

Tun Abdul Hamid Mohamad berkata negara Islam yang melaksanakan hukum hudud tidak berjaya mengurangkan jenayah sebaliknya menyebabkan kemelut perundangan.

Semasa pembentangan kertas kerja di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), bekas ketua hakim negara itu berkata, negara yang melaksanakan hudud masih jauh ketinggalan daripada aspek kadar jenayah, keadilan dan keamanan.
"Setakat ini, negara yang melaksanakan hudud seperti Pakistan, Nigeria dan Sudan masih lagi ketinggalan dalam aspek ini berbanding negara yang tidak melaksanakannya seperti Sweden, Norway, Iceland, Denmark dan Jepun," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Implementation of Hudud in Brunei Darussalam: Differences between Brunei Darussalam and Malaysia”, hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan hukum hudud Mekah dan Madinah tidak boleh dijadikan ukuran kepada keberkesanan undang-undang Islam tersebut kerana situasi yang berbeza.
"Mereka yang ke sana untuk mengerjakan haji, sekali seumur hidup, membawa wang yang cukup , mahu mendapatkan haji mabrur dan kebanyakannya orang tua dan insaf.
"Pastinya mereka tidak akan melakukan kesalahan jenayah," katanya.
Katanya, pelaksanaan suatu undang-undang bukan semata-mata bergantung kepada pelaksanaan, tetapi pelbagai aspek lain yang juga harus dipertimbangkan.
"Pelaksanaan undang-undang tidak berakhir dengan hanya menguatkuasakannya.
"Apa yang lebih penting ialah bagaimana ia dijalankan, apakah kesan dan akibatnya, adakah ia akan membawa kepada kehidupan lebih baik, keamanan dan kemakmuran, atau ia memperbaiki tahap keadilan dalam negara," katanya.
Abdul Hamid menjelaskan walaupun hukuman hudud dilaksanakan ke atas penganut Muslim sahaja, ianya masih bertentangan dengan Perlembagaan yang menjadi asas undang-undang negara.
"Jika ia dibuat hanya kepada Muslim, ia pasti bertentangan dengan Artikel 8 memandangkan ia mendiskriminasi atas asas agama dan maka itu ia bertentangan dengan Perlembagaan," katanya.
Undang-undang negara berteraskan sistem perundangan “common law”, bagaimanapun undang-undang Syariah juga dilaksanakan oleh negeri kecuali Wilayah Persekutuan, namun Abdul Hamid menegaskan undang-undang Syariah tersebut mestilah selaras dengan Perlembagaan negara.
"Ramai orang berfikir memandangkan kesalahan hudud dan qisas diperuntukan dalam Syariah dan undang-undang Islam dibawah bidang kuasa negeri, maka Dewan Negeri boleh mengubal undang-undang sedemikian.
"Sebahagiannya tepat. Di Malaysia, sebarang undang-undang mestilah konsisten dengan Perlembagaan," katanya.
Beliau juga berkata Dewan Negeri tidak boleh meminda undang-undang Syariah untuk dilaksanakan ke atas bukan Muslim kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan negara.
Abdul Hamid juga tidak menolak sekiranya hudud dilaksanakan secara rapi dan persediaan tidak mencukupi, seluruh agensi pihak berkuasa negara akan berdepan dengan kecelaruan.
"Polis tidak tahu apa patut mereka buat, pendakwaraya tidak tahu nak buat apa, peguam tidak tahu nak buat apa dan hakim juga tidak tahu nak buat apa.
"Peguam bergegas ke kedai buku untuk mencari apa saja buku mengenai subjek tersebut," kata Abdul Hamid menerangkan situasi yang berlaku di Sudan sebaik undang-undang Islam tersebut dilaksanakan.
Lebih mengejutkan Abdul Halim apabila kerajaan Sudan mengumumkan sekiranya doktor enggan memotong tangan penjenayah, kerajaan sendiri akan memberi latihan kepada hakim untuk menjalankannya.
Pelaksanaan hukum hudud diperjuangan oleh parti Islam PAS, bagaimanapun usaha tersebut sering menerima kritikan sama ada daripada rakan pembangkang Pakatan Rakyat serta kerajaan Barisan Nasional.
Tahun lalu, kerajaan PAS di Kelantan melontarkan sekali cadangan pelaksanaan undang-undang Islam tersebut.
Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, berkata Mahkamah Syariah Kelantan bersedia melaksanakan hukum hudud lantaran daripada prasarana yang mencukupi bagi membolehkan hukuman tersebut dilaksanakan.
Pengkritik tidak melihat usaha tersebut akan berjaya memandangkan kerajaan pemerintah Barisan Nasional masih memiliki kata putus ke atas pelaksanaan undang-undang kontroversi tersebut.
Pengkritik menegaskan penguatkuasaan undang-undang jenayah masih lagi tertakluk di bawah kerajaan pusat seperti peruntukan Senarai 1, Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan.
Tahun lalu, negara jiran, Brunei Darussalam telah menggazetkan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah yang merangkumi pelaksanaan hukum hudud.
Susulan pengumuman tersebut, kerajaan Kelantan telah mengadakan kerjasama erat dengan Brunei termasuk menghantar pegawai bertanggungjawab bagi melihat pelaksanaan hukuman hudud di negara terbabit. – 11 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About